Subang Jaya, 25 Ogos – Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) dengan kerjasama Summit USJ, Subang Jaya serta mendapat sokongan dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), CCIG dan GAFIM telah menganjurkan Program Anifest@Summit 2017 bertempat di Community Centre, Level 4 The Summit USJ. Dengan mengambil peluang suasana kemeriahan sambutan ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke-60, ANIMAS mengorak langkah melalui tema #kitapatriotik telah menghimpunkan beberapa studio animasi bersama gandingan karyawan komik, peminat komik, hobi dan komuniti permainan video.

Objektif program ini diadakan adalah sebagai salah satu platform untuk mempromosi naskah dan karya animasi serta kartun tempatan serta memupuk semangat perpaduan masyarakat melalui animasi serta mengetengahkan aspek budaya dan seni kreatif dalam penerbitan animasi. Program ini merupakan acara susulan dan sekuel dari program ANIFEST@Summit sebelum ini bermula pada tahun 2015 dan tahun ini merupakan kali ketiga. ANIMAS turut mensasarkan acara Ground Events seperti itu berterusan dalam usaha mengangkat dan memurnikan kelestarian Animasi Malaysia ke pasaran global serta dapat memperkasakan industri kreatif negara.

Majlis pelancaran program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib yang mewakili Ketua Pengarah FINAS, Dato’ Fauzi Ayob sambil diiringi oleh Pengurus Besar Summit USJ Management Corporation, Encik Mohd Azhan Che Mat serta Presiden ANIMAS, Encik Ameir Hamzah Hashim. Turut hadir ialah pelajar-pelajar IPTA/IPTS yang merupakan gedung melahirkan karyawan animasi pada masa akan datang dan juga rakan media.