Kampar, 17 Mac – Bengkel Filem Perak anjuran Persatuan Penggiat Filem Perak dengan sokongan FINAS melalui Unit Latihan Industri telah diadakan di Kompleks Rakan Muda Kampar, Perak. Program berdurasi 3 hari tersebut telah disertai oleh 56 orang belia dari pelbagai institusi pengajian tinggi yang berlatar belakangkan jurusan filem dan seni persembahan. Peserta bengkel berpeluang menuntut ilmu dengan penggiat industri berpengalaman iaitu En. Mior Hashim Manap, En. Jay Iswazir, En. Muzzamer Rahman dan En. Azharul Azmir dengan penekanan di dalam 4 bidang perfileman iaitu pengarahan, skrip, pengurusan produksi dan lakonan.

Selain itu, peserta turut diberi peluang menyertai sesi tayangan filem tempatan, Tombiruo bersama penerbit eksekutif, Puan Imillya Roslan dari Ideate Media.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Penggiat Filem Perak, Cik Ellin Sailillah dengan dihadiri oleh wakil FINAS, Cik Siti Nor Aiysha Masarudin, Penolong Pengarah Unit Latihan Industri, para penganjur, barisan tenaga pengajar, peserta program dan tetamu yang lain.