Kuantan 18 Mac – Bengkel Smartphone Short Film, Ekspresi Seni Kreatif 2018 anjuran Yayasan Perdana Ummah (YPU) dengan sokongan FINAS menerusi Unit Latihan Industri dan Biro Tatanegra Pahang telah diadakan di Kem Bina Negara, Bukit Sagu Kuantan, Pahang.

Bengkel yang telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 16 Mac adalah bersempena dengan Program “Ekspresi Seni Kreatif 2018”. Menerusi bengkel ini, tenaga pakar industri, selaku Pengarah Filem Polis Evo, Ghaz Abu Bakar telah berkongsi ilmu kreatif dan kepakaran dengan membimbing seramai 86 peserta bengkel yang terdiri daripada belia & guru dari daerah Pahang bagi menghasilkan 9 filem pendek berdurasi 1 minit dengan mengangkat dua tema iaiti Budi Bahasa dan Perpaduan.

Ucapan Perasmian Majlis Penutup & Penyampaian Sijil Bengkel Smartphone Short Film telah disempurnakan oleh Pengarah Pembangunan Industri, Tn Hj Abd. Khalid Maulod. Pada majlis ini, sebanyak lima filem pendek terbaik yang telah dihasilkan oleh peserta bengkel telah ditayangkan. Terlebih dahulu Ucaptama Majlis Penutup bengkel tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pemuda Negeri Pahang, Saudara Shahar Abdullah.

Turut hadir Pengarah BTN Pahang, En Hamizi Yaakob, Ketua Sekretariat Inisiatif Seni Kreatif, Dato’ Mohd Zekri Ibrahim; Dr. Sharifah Nur’ Insyirah Saifuddin Shah; Ketua Penyelaras Dana Mikro Belia, Sentuhan Seni Kreatif dan Habibah Zainal Abidin, Ketua Penolong Pengarah Unit Latihan Industri.