Kuala Lumpur, 13 Disember – Persatuan Televisyen Malaysia, PTVM dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah menganjurkan program ATV PITCH 2017 yang merupakan platform bagi para penggiat industri kreatif untuk membentang atau ‘pitch’ idea mereka dihadapan wakil penyiar televisyen bermula semalam di The Federal Kuala Lumpur.

Objektif utama program ini adalah untuk menyediakan platform bagi penggiat seni filem industri tempatan; penulis skrip, penerbit filem dan pembekal kandungan untuk berkongsi idea dan ‘pitch’ kepada penyiar televisyen tempatan dan antarabangsa. Program ini juga menggalak pengunjung-pengunjung untuk mendaftar Harta Intelek (IP) melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia, MyIPO.

Program kali ini berjaya mengumpulkan sebanyak 56 buah syarikat produksi yang mendaftar untuk membentangkan idea dan skrip mereka dihadapan penyiar televisyen tempatan dan antarabangsa. Dato’ Jurey Latiff telah mengumumkan sebanyak 116 idea telah berjaya dipilih oleh penyiar-penyiar televisyen tempatan dan antarabangsa yang menyertai program ATV PITCH 2017 kali ini.

Antara penyiar televisyen yang menyertai program ini adalah Radio Televisyen Malaysia (RTM), Hypp TV, Media Prima, ASTRO, Sky Elite TV, Syiok TV, Sinar TV, Neo Universe, Jawapost TV dan SKTV dari Indonesia, Yunnan TV dan Yunnan Minzu Film Studio dari China.

Majlis ini turut dihadiri YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, YBhg, Dato’ Jurey Latiff Rosli, Pengerusi PTVM, YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS, YBrs. Encik Mohd Shahar Bin Osman, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan MyIPO, majlis tertinggi dan ahli-ahli jawatankuasa PTVM merangkap sekretariat program, penggiat-penggiat industri, rakan-rakan media dan karyawan industri.