Ampang, 14 Oktober- Nan T Achnas, figura karyawan wanita berpengaruh di dalam dunia sinema kontemporari Indonesia ini dengan citra feminisme ini diteroka ideologi, aspirasi, falsafah dan perjuangannya melalui program ‘Asia Director Talk’ anjuran Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dengan kerjasama Unit Latihan Industri, Bahagian Pembangunan Industri FINAS yang diadakan di Kelab Darul Ehsan, Ampang Selangor.

Menyusuri peranan beliau bersama rakan seangkatan seperti Mira Lesmana, Rudy Soedjarwo, Riri Riza, dan Rizal Manthovani pada era kebangkitan sinema baru Indonesia pada era tahun 2000 mempunyai impak besar kepada penjelajahan filem-filem berkualiti Indonesia ke pasaran global. Karya ‘masterpiece’ beliau, ‘Pasir Berbisik’ lakonan Dian Sastrowardoyo telah memperolehi lapan anugerah di beberapa festival filem antarabangsa di Rotterdam, Pusan, Seattle, Deauville dan Asia-Pasifik (Pengarah Muda Berbakat) selain “Bendera” pula diiktiraf di Festival Filem Tokyo, dan “The Photograph” menjulang empat anugerah di Perancis, Goteborg, Belanda dan Locarno (Switzerland) selain ‘3 Doa 3 Cinta’ yang dicalonkan di Asia Pacific Screen Awards.

Menurut penerima anugerah NETPAC ini juga, citra estatika dan budaya adalah wadah kepada keunikan sesebuah karya dan harus ditunjangi pembikinan yang berkualiti tanpa mengenepikan identiti nasional yang harus menjadi ‘signature’ unik. Ujarnya, peranan karyawan wanita juga amat signifikan dengan pembangunan ideologi, kendiri dan aspirasi yang membina impak kepada sosio politik dan budaya. Mewarisi darah seni daripada ayahnya, lagenda Nas Achnas, karyawan dan pengarah di dalam sejarah filem Melayu di Nusantara Film, Cathay Keris dan filem-filem terbitan Studio Merdeka seperti Loceng Maut dan Rahsia Hatiku ini turut percaya, subjek dan cerita tempatan adalah menarik untuk disulam dan diangkat merentasi benua.

Program pembangunan ilmu dan sinergi industri ini dikendalikan oleh moderator, Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar dan dihadiri, Pengarah Pembangunan Industri FINAS, Haji Abdul Khalid Maulod, para penggiat industri dan pencinta filem.