Kredit: kampusuols.com

Video filem dokumentari pendek berkisarkan kehidupan Nadine dan Afiatul yang menghidap Sindrom Down ternyata menambat hati juri pada Festival Filem Pendek dan Seni Antarabangsa (FISFA) di New Delhi, India baru-baru ini.

Filem bertajuk The Special Ones ini merupakan hasil projek pelajar tahun empat jurusan medik USM-KLE IMP dan juga ahli Medical Awareness Project (MAP) bersempena Hari Sindrom Down Sedunia pada 20 Mac 2018.

MAP merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan oleh pelajar USM-KLE IMP di Belgaum, Karnataka, India bagi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia berkenaan isu kesihatan semasa.

Menurut peneraju kumpulan ini, Nur Alya Atiqah Mazlan, pensyarah mereka, Dr Sunita Bidari, telah memperkenalkan Nadine, seorang wanita Sindrom Down berusia 31 tahun yang tinggal bersama penjaganya, Renuka.

Video itu dihasilkan untuk menunjukkan kepada masyarakat bagaimana kehidupan seorang penghidap Sindrom Down sebenarnya boleh dibentuk ke arah lebih baik sehingga mampu berdikari.

Berbeza dengan Nadine yang tidak mempunyai pendidikan asas, seorang lagi Sindrom Down, Afiatul pula agak berdikari apabila telah lulus sekolah menengah dan kini bahagia hidup bersama abangnya, Bengah. Hubungan adik-beradik ini juga menarik perhatian rakyat Malaysia kerana sikap mereka yang nakal dan saling menyayangi satu sama lain, malah Afiatul dianggap inspirasi kepada kalangan komuniti lain, terutamanya di Malaysia.

Mengimbas kembali bagaimana video pendek berkenaan terpilih memasuki Fisfa, kata Nur Alya, ia berubah menjadi hit apabila Dr Sunita mengongsi dan menyiar di facebooknya.

“Seorang pensyarah telah mencadangkan kami memasuki Fisfa seterusnya memberi banyak galakan kepada kami,” katanya.

Lanjutan dari cadangan itu, pada 25 Mac, mereka memutuskan untuk menyertai Fisfa yang diadakan sempena Persidangan Kesihatan Luar Bandar Dunia Wonca (WRHC) 2018 ke-15 di New Delhi.

“Tarikh tamat penyerahan adalah pada 31 Mac. Jadi, pada dasarnya kami hanya mempunyai enam hari untuk membuat filem dan mengedit dokumentari pendek ini. Dan, sudah tentulah ia sesuatu yang mencabar memandangkan kami terpaksa menyusun dan mengikuti jadual penggambaran di antara kelas, selain membuat proses editing dan screening pada sebelah malam,” imbas Nur Alya yang turut disertai rakan-rakan lain dalam kumpulannya terdiri daripada Mohammad Afiq Mohd Puzi, Muhammad Faaiz Mat Yusoff, Muhamad Noor Zuhairi Noor Hasani, Hafiz M Razak, Nur Diyana Mohd Roznan dan Mohamad Muhyiddin Jelani.

Daripada sebanyak 76 keseluruhan penyertaan dan 41 daripadanya dipilih untuk ditayangkan semasa persidangan tersebut, hanya 10 dipilih ke senarai pendek termasuk The Special Ones sekali gus menganugerahkan kumpulan ini Filem Pelajar Terbaik.

Lebih membanggakan lagi apabila mereka merupakan wakil tunggal dari Malaysia yang bersaing dengan negara-negara lain seperti India, Brazil, Jepun, Australia dan sebagainya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Sunita Bidari, Prof Dr Mohd Suhaimi Abd Wahab, Dr HB Rajasekhar, Suchitra Rajshekar, Suraya Mohd Zairi, Nadine dan keluarga, Prasanna dan keluarga dan juga pasukan Fisfa. Tanpa mereka, projek ini tidak dapati direalisasikan,” ujarnya lagi.

India 1

India 2

India 3

India 4