Kembara filem arahan Nam Ron, ‘One Two Jaga’ menembusi festival filem di peringkat antarabangsa diteruskan apabila terpilih sebagai ‘Official Selection’ di 17th New York Asian Film Festival (NYAFF), Amerika Syarikat yang akan berlangsung di dua lokasi iaitu Film Society of Lincoln Center dan SVA Theatre pada 29 Jun-15 Julai 2018. Dianjurkan Subway Cinema dan Film Society of Lincoln Center (FSLC), NYAFF adalah festival filem berprestij yang mendukung pembangunan seni dan budaya melalui jaringan sinema dunia dan menjadi platform tayangan dan apresiasi melalui pemilihan filem-filem kontemporari dan klasik dari negara-negara Asia terpilih.

Terdahulu, filem ‘One Two Jaga’ terbitan Pixel Play Entertainment (Bront Palarae & Rozi Izma) dan Jazzy Pictures telah dipilih sebagai filem pembukaan (opening film) di 20th Udine Far East Film Festival, Itali pada 20 April 2018 yang lalu selain bertanding bersama-sama penyertaan negara lain dari seluruh dunia (In Competition). Dibintangi Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Amerul Affendi, Iedil Putra, Chew Kin Wah serta bintang Indonesia, Ario Bayu dan Asmara Abigail dan ramai lagi, filem ini meneroka sisi gelap berkaitan rasuah, korupsi dan jenayah serta konflik kemanusiaan sejagat yang menghantui masyarakat.

#OneTwoJaga

jaga 1

jaga 2

jaga 3