KUALA LUMPUR, 6 Feb— Selepas kejayaan cemerlang dengan karya pecah panggung, The Journey dan Ola Bola, Chiu Keng Guan terus memberikan inspirasi mengenai perjuangan dan kekuatan insan menghadapi cabaran yang disulami nilai kekeluargaan, persahabatan, dan kemasyarakatan di dalam buah tangan terbaru beliau ‘Think Big Big’.

Tayangan Gala bagi filem Think Big Big di GSC Pavilion malam tadi yang menampilkan bakat-bakat baru seperti juara bertahan Miss Astro 2016 Serene Lim, Fabian Loo, Moon Yong, Joanne Lau, Vivienne Oon, Ruby Yap dan Keigrey Kam ini turut diserikan dengan kehadiran Chiu, produser, barisan pelakon, karyawan-karyawan industri dan pihak media.

Filem terbitan Astro Shaw, Golden Screen Cinemas, Multimedia Entertainment dan MM2 Entertainment yang bakal menemui penonton 15 Februari ini menceritakan tentang Moon yang mempunyai ukuran badan yang agak gempal namun berangan-angan menjadi angkasawan. Perjalanan beliau diuji apabila perlu berhadapan dengan cabaran ketika memasuki pertandingan menguruskan badan yang perlu dihebahkan di media sosial.

#ThinkBigBig