Petaling Jaya, 15 Julai– Di dalam peranan mempromosikan dasar-dasar kerajaan melalui konsep mesra rakyat dan pembangunan industri sejajar dengan aspirasi YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ketua Pengarah FINAS, Dato’ Fauzi Ayob malam ini telah mengetuai inisiatif program #JengahLokasi sebagai jenama baru oleh FINAS bagi membina jaringan sinergi dua hala bersama pasukan produksi filem tempatan melalui konsep turun padang di lokasi penggambaran dengan pemilihan di lokasi filem terbaru arahan Pekin Ibrahim, KL Wangan terbitan Centro Pictures Sdn Bhd di Uptown Kota Damansara, Petaling Jaya. Berobjektifkan membina komunikasi secara langsung bersama karyawan industri dengan perkongsian isu, pendapat, aduan dan cadangan daripada pihak penerbit, pengarah, pelakon dan tenaga belakang tabir yang menjayakan sesebuah produksi, ia dapat memberi ruang kepada penyampaian maklumat dan memperkasakan lagi aspirasi FINAS sebagai badan pembangunan industri melalui fungsi-fungsi strategiknya.

Ujar Ketua Pengarah lagi, “Saya percaya konsep turun padang dan berkomunikasi secara langsung ini bersama rakan sepasukan saya dari FINAS sebagai pegawai kerajaan mampu membina jambatan sillaturahim bersama tenaga produksi selain memberi maklumbalas yang berkaitan seperti pelesenan dan penguatkuasaan, dana dan insentif, dasar-dasar kerajaan, wajib tayang, modal insan, pemasaran, produksi, khazanah kandungan, teknologi dan studio dan lain-lain lagi dan terus memberi sokongan kepada produksi tempatan sebagai pemain industri”. Tambahnya lagi, program #JengahLokasi ini juga akan diadakan secara berkala bersama produksi-produksi filem yang lain secara santai dan mesra selain membudayakan kepimpinan bersama rakyat yang juga menjadi teras Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan agensi-agensi di bawahnya.

Disertai rakan-rakan sepasukan FINAS, Pengarah Pembangunan Industri, Tn.Hj Mohd Zulkifli Ab Wahab, Pengarah Galakan Penggambaran, Ahmad Syazli Muhd Khiar, Pengarah Dasar dan Perancangan, Zokifli Abu Bakar, Pengarah Pelesenan dan Penguatkuasaan, Mohd Fazli Abdul Aziz, para pegawai FINAS dan pihak media, kunjungan bersifat santai ini turut memberi peluang meninjau babak-babak aksi yang diarahkan Pekin Ibrahim kepada bintang jemputan dari Indonesia, Donny Alamsyah selain perkongsian interaktif bersama Pengarah Fotografi Raja Mukhriz dan barisan krew yang terlibat.

Menurut Penerbit filem KL Wangan, Sean Rahman dan Rain Aziz, inisiatif terbaharu FINAS adalah sangat baik kerana konsep ‘bersama rakyat’ yang dibawa oleh Ketua Pengarah FINAS, Dato’Fauzi Ayob bersama para pegawainya sendiri yang telah turun padang mampu membina satu jaringan kerjasama di antara FINAS sebagai agensi kerajaan bersama karyawan industri di dalam sesebuah produksi selain berpeluang secara langsung menyampaikan input, masalah dan cadangan-cadangan yang boleh membangunkan industri secara lebih menyeluruh.

Filem KL Wangan bergenre drama dan aksi lakonan Faizal Hussein, Emily Lim, Pekin Ibrahim, Kazuto Soon yang menjalani penggambaran dalam negara mengisahkan dua pelumba, Hong lakonan Kazuto Soon dan Yudi, yang mempunyai sejarah di arena perlumbaan kereta biasa hingga jentera berkuasa besar.