Kuala Lumpur, 22 Disember – Program Penutup Masterclass Visual Effects & Animation anjuran KRU Academy dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah diadakan di KRU Academy, TPM Bukit Jalil hari ini. Program pembangunan modal insan dan sinergi industri melalui pemerkasaan bidang animasi dan kesan khas visual yang berlangsung dari 27 November – 22 Disember 2017 telah memberi pendedahan kepada 25 orang peserta terdiri daripada pensyarah dan penggiat industri khususnya generasi muda.

Menurut Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup, program jaringan ilmu ini adalah inisiatif kerajaan melalui FINAS di dalam memperkasakan pembangunan kemahiran generasi progresif di belakang tabir yang mempunyai potensi di dalam bidang animasi dan kesan khas.
“Dengan kerjasama erat daripada KRU Academy yang mempunyai pencapaian cemerlang di dalam industri kesan khas dan animasi ini, ia tentunya menjadi platform terbaik kepada para peserta untuk dibimbing dengan modul interaktif yang berteraskan teknologi dan lanskap industri terkini” ujar beliau lagi.

Majlis telah diserikan dengan tayangan video testimoni dari pelajar masterclass dan video projek tahun akhir dari pelajar Diploma Kemahiran Malaysia. Penyampaian sijil kepada 25 peserta program telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS dengan diiringi YBhg. Dato’ Norman Abdul Halim, Presiden Eksekutif KRU Group.Turut hadir YBrs. Encik Noor Hafeez Noor Hashim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Academy, Encik Sheheide Sheh Omar, Naib Presiden Program CGI KRU Academy, Encik Mohammad Faizal Sapiee, Naib Presiden Operasi dan Pendaftar, tenaga pengurusan KRU, barisan tenaga pengajar program Masterclass dan tetamu jemputan.