Kuala Lumpur, 2 Julai – Astro Shaw dengan kerjasama strategik Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan HBO Asia hari ini mengadakan Majlis Sidang Media Penggambaran Filem The Garden of Evening Mist di Hotel Majestic Hotel, tengahari tadi.

Filem arahan Tom Lin, seorang pengarah dari Taiwan ini diadaptasi daripada sebuah novel hasil nukilan penulis terkenal Tan Twan Eng. Mengisahkan tentang keindahan Tanah Melayu selepas Perang Dunia Ke-2 sekitar tahun 1950an dan tahun 1980an, filem ini membariskan gabungan pelakon antarabangsa dan tempatan seperti Lin Sinjee, Hiroshi Abe, John Hannah, David Oakes, Serene Lim, Wan Hanafi Su dan ramai lagi.

Menurut Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, pembikinan filem ini membuka peluang kepada para pelakon dan tenaga produksi tempatan untuk mendalami dan bekerjasama dengan negara luar seperti Taiwan, Jepun, India dan Australia.

Filem ini telah menjalani penggambaran di beberapa buah lokasi menarik di Malaysia seperti di sekitar ladang teh Cameron Highlands dan Perak bakal ditayangkan pada 2019 nanti menerusi platform digital, linear dan on demand di 23 wilayah sekitar Asia. Majlis turut dihadiri YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS dan Najwa Abu Bakar, Ketua Astro Shaw, Tan Twan Eng, penulis novel The Garden of Evening Mist, pengarah filem, Tom Li, barisan pelakon dan pihak media.