Shah Alam, 25 April – Majlis Pelancaran Program Pembelajaran Berasaskan Kerja (2u1i) Universiti Teknologi MARA dan Tandatangan Surat Niat Kerjasama UiTM dengan rakan strategik industri telah diadakan bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam. Program 2u1i adalah program di bawah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) serta Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM merupakan inisiatif untuk meningkatkan pembangunan modal insan para pelajar universiti melalui gabungan komponen latihan industri dengan pembelajaran akademik
Majlis telah disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan turut dihadiri Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said. Pada majlis sama, FKPM dan FiTA menandatangani memorandum persefahaman bersama 21 wakil industri bagi program 2u1i. UiTM adalah universiti pertama di negara ini yang melaksanakan program 2u1i, membabitkan 11 program pengajian, mulai September ini.

Ketua Pengarah FINAS, Dato’ Fauzi Ayob ketika ditemui sebagai rakan strategik program ini telah menyatakan signifikan pembangunan kemahiran, ilmu dan potensi generasi muda seperti ini melalui sinergi latihan industri dan akademik yang sistematik. Ujarnya lagi ketika hadir menandatangani Surat Niat Kerjasama “Pelaksanaan pelan strategik jangka panjang melalui teras ‘apprenticeship’ di dalam industri kreatif juga menjadi agenda yang akan menjadi fokus FINAS”.Turut hadir bersama ialah En Mohamad Syimir Alfi Zahari, Pengarah Komunikasi Korporat.