Kuala Lumpur, 5 Mac – Kedutaan Republik Islam Iran dengan kerjasama Golden Screen Cinema (GSC) dan disokong Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta Farabi Film Foundation dan Hoze Honari Organization hari ini telah menganjurkan Majlis Perasmian Festival Filem Iran Malaysia 2018 di GSC Pavilion malam tadi.

Festival Filem Iran (FFI) yang julung kali bakal diadakan di Malaysia bermula 7-17 Mac ini akan menyajikan orang ramai dengan tayangan filem-filem terbaik Tehran seperti Sweet Taste of Imagination, The Queen, Ceasefire 2, Where are My Shoes, Under the Smoky Roof dan Crazy Castle. Menurut pengarah FFI iaitu En. Mohammad Reza Shams, keenam-enam filem ini telah memenangi beberapa anugerah di Festival Filem Fajr 2017 di Tehran sebelum ini.

Selain sesi tayangan filem, festival ini turut menganjurkan program berbentuk perkongsian ilmu yang akan dikendalikan oleh pengarah terkenal Abolhassan Davoodi dan Pouran Derakhshandeh di ASWARA nanti. Melalui penganjuran FFI, hubungan strategik melalui seni filem antara Malaysia dan Iran akan lebih erat dan disamping dapat membuka ruangan jaringan dua hala.

Majlis perasmian yang diadakan ini turut dihadiri Marzeih Afkham, Pesuruhjaya Republik Iran di Malaysia, Pn. Koh Mei Lee, Ketua Pegawai Eksekutif GSC, Kaunselor Budaya Kedutaan Republik Islam Iran di Malaysia, Ali Mohammed Sabeghi, Pengarah Festival Film Iranian (FFI 2018), Mohammad Reza Shams, pengarah filem Pooran Derakshandeh dan aktres Merila Zarei serta para jemputan dan pihak media.

Sila layari http://www.gsc.com.my atau http://www.iranianfilmmalaysia.com untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan sesi tayangan percuma ini.