Kisah pembangunan bandar Kapit yang diteroka melalui konsep ‘ethnographic storytelling’ di dalam dokumentari “Nadi Kapit” yang diterbitkan Allahyarham Hidzayat bin Sirat dari FINAS Cawangan Sarawak telah berjaya merangkul kejayaan tempat pertama dalam kategori “Kesejahteraan Komuniti dan Pembangunan Luar Bandar” (Penyiaran) di majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2017 yang berlangsung di Hotel Pullman pada 27 November 2017 yang lalu dengan membawa pulang wang tunai RM3000 dan plak kemenangan. Bagi kategori ini, kemenangan ‘Nadi Kapit’ di tempat pertama telah diiktiraf barisan juri profesional bersama-sama RTM yang merangkul tempat kedua dan TV3 (Media Prima) di tempat ketiga.

Kejayaan sulung FINAS di dalam anugerah berprestij tahunan semenjak tahun 1988 anjuran Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) yang menghargai sumbangan pihak media di dalam pembangunan idea dan informasi mengenai negeri Sarawak itu telah menjadi ‘Nadi’ semangat kepada pasukan FINAS Cawangan Sarawak biarpun masih bersedih kerana pemenang yang juga penerbitnya, Allahyarham Hidzayat bin Hj Sirat telah menghembuskan nafas terakhir pada 23 November lalu.

AKK 2017 yang disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ini telah menyediakan lebih RM200,000.00 wang tunai kepada kesemua pemenang dan penerima pada malam tersebut yang turut ditaja Kerajaan Negeri Sarawak, Sarawak Energy Berhad (SEB), Petronas dan Shell. Sebanyak 414 penyertaan daripada semua agensi berita seluruh Sarawak telah diterima penganjur bagi dipertandingkan melalui sebelas kategori yang disediakan.

Al-Fatihah buat Allahyarham Hidzayat Bin Hj Sirat
Penerbit Rancangan di FINAS Cawangan Sarawak
Penerima Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2017