Hulu Kelang, 26 Jun – Di dalam strategi pembangunan industri kreatif melalui jaringan sinergi dua hala bersama rakan strategik antarabangsa, FINAS hari ini berbesar hati menerima kunjungan daripada penggiat seni Korea Selatan ke Ibu Pejabat FINAS bagi sesi lawatan industri yang turut meneroka potensi kerjasama di antara Korea Selatan dan Malaysia.

Menerusi jaringan kerjasama yang dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif AIFA Motion Pictures dan AIFA Academy, En. Ahmad Idham Ahmad Nadzri ketika dijemput ke Seoul, Korea bersempena Chunsa Film Festival 2018 yang lalu dan syarikat produksi Korea, OPUS Pictures terus diperkukuhkan melalui program dua hala bersama rakan strategik di Malaysia. OPUS Pictures yang diiktiraf Korean Film Council (Biz Zone) semenjak tahun 2005 telah aktif menerbitkan filem-filem terkenal Korea seperti A Frozen Flower (2008), The Man From Nowhere (2010) dan Snowpiercer (2013) lakonan Chris Evans, Song Kang-ho dan Tilda Swinton ini memilih Malaysia bagi pembangunan bakat dan modal insan, perkongsian kepakaran, pasaran dan pelaburan serta kerjasama produksi.

Dipengerusikan YBhg.Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS yang turut membincangkan potensi pasaran industri kreatif tempatan serta jaringan pemasaran global, perbincangan dua hala ini turut disertai En. Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Ketua Pegawai Eksekutif AIFA Motion Pictures & AIFA Academy, YBhg. Dato’ Sri Eizlan Yusof, Raja Ilya dan delegasi Korea Selatan yang diketuai Mr. Lee Tae Hun, Ketua Pegawai Eksekutif OPUS Pictures, Mr. Yang Yun Ho, Pengerusi ‘Film Directors Association’ Korea Selatan, karyawan industri Korea Selatan dan pengurusan tertinggi FINAS.