Pulau Redang, 20 Mei – FINAS melalui Bahagian Pengurusan Produksi hari ini menyertai Program Menghubung Menyatu (CTU) anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang diadakan di Kampung Baharu Pulau Redang, Kuala Nerus. Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang akan membawa negara ke arah transformasi negara berpendapatan tinggi serta pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan disamping masyarakat dapat menjalani kehidupan dengan aman harmoni di masa hadapan. Program yang berlangsung petang tadi telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, YB Tuan Haji Bazlan Abdul Rahman.

Pelbagai pengisian program pembangunan komuniti dan teknologi maklumat telah dijalankan seperti Ziarah Kasih dengan mengunjungi warga emas yang uzur bersama pegawai perubatan serta pemberian sumbangan barangan keperluan harian kepada masyarakat yang kurang berkemampuan. Selain itu, KKMM turut menyumbangkan televisyen serta set Astro NJoi kepada lima penduduk di kampung berkenaan.

Masyarakat setempat juga berpeluang mengikuti aktiviti berteraskan kemasyarakatan, pengetahuan dan perpaduan seperti keusahawanan, riadah dan pameran interaktif di booth jabatan/agensi kerajaan yang terlibat. Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut sama menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir dan bantuan sara hidup kepada para nelayan. Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Pembangunan KKMM, Encik Kamaruddin Abdul Rani, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, YBhg Dato’ Haji Ibrahim Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Encik Nasrudin H.Mahmud dan Setiausaha Komuniti 1Malaysia Pulau Redang, Prof.Madya Dr Abdullah Ibrahim.

Kredit Foto : Norizanah Izan