Sekitar Program Wacana Ilmu dan Pengalaman Industri bersama Nam Ron anjuran Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 6 April 2017. Apresiasi seni dua hala ini telah meneroka spektrum falsafah, perjuangan, pengalaman, cabaran dan nilai budaya yang diangkat Nam Ron melalui sebuah perjalanan seni lebih daripada 25 tahun ini.
Nam Ron, 48, seorang aktor, penulis, pengarah dan karyawan seni teater, drama dan filem tanahair yang mula berkecimpung semenjak tahun 1989 melalui kumpulan teater AKSI di tanah kelahirannya, Perlis sebelum melanjutkan pelajaran di Akademi Seni Kebangsaan telah menggunakan ilmu dan pengalamannya menerbit, menulis dan mengarah teater-teater seperti Gedebe, Lembu, Jangan Bunuh Sam, Matderihkolaperlih, Aku Nak Jadi Bintang, Laut lebih Indah dari Bulan, Projek kolaborasi Ka Si Pe Cah dan Alih Punggong ini telah mengembara ke Jepun, Indonesia dan Filipina melalui projek usahama penerbitan teater.

Penerima Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem Anugerah Skrin 2016 untuk filem Redha dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama Anugerah Skrin 2012 untuk supertele ‘Parit Jawa’ yang kedua-duanya hasil karya Tunku Mona Riza juga dikenali sebagai aktor versatile menerusi karya-karya pelbagai genre seperti Gedebe, Gubra, Paloh, Langgar, Aku Tak Bodoh, Redha, 29 Februari, Bunohan dan banyak lagi. Kemampuan beliau mengemudi filem Psiko Pencuri Hati sebagai pengarah juga telah menghasilkan lima pencalonan di Festival Filem Malaysia ke 26 selain kemenangan buat Bront Palarae dan Sharifah Amani di Anugerah Skrin 2014 untuk Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik.