KUALA LUMPUR, 10 Mac – Melalui program ‘Art Talk & Forum’, Galeri PETRONAS telah membawakan program perkongsian ilmu melalui tayangan dan apresiasi filem dokumentari ‘The Timeless Temiar’ bersama karyawan industri dan pengkritik filem, En. Hassan Muthalib. Dokumentari warna yang diterbitkan Malayan Film Unit (kemudian dikenali sebagai Filem Negara Malaysia dan FINAS setelah digabungkan) telah diarahkan oleh tokoh dokumentari negara, Allahyarham Mohd Zain Hussain atau dikenali sebagai Tuan Zain pada tahun 1957 adalah sebuah projek penting kepada pembangunan kandungan dokumentari yang memaparkan subjek sosio budaya suku orang Asli Temiar di Perak yang dibikin dengan gaya pengarahan moden dan struktur naratif berbeza.

Keupayaan Tuan Zain meneroka ‘visual storytelling’ yang segar dengan memaparkan visual kemodenan telah membangunkan persepsi kepada penonton asing akan dua dimensi; pembangunan pesat Malaya dan keutuhan jatidiri dan budaya yang ditonjolkan oleh orang Asli. Kualiti naratif, visual dan produksi adalah ‘signature’ kepada dokumentari ini yang turut dipasarkan dan ditayangkan di Amerika Syarikat dan Kanada.

Turut sama hadir dalam program tersebut ialah pengarah filem tersohor, U-Wei Hj Saari, penerbit, Nandita Solomon, para penggiat seni budaya dan pihak media yang turut berkongsi pandangan mengenai falsafah, peranan dan impak filem dokumentari kepada pembangunan negara, budaya dan bangsa.