Oleh: Amy Ikram
Gambar: Udden Rahman

Diskusi ‘Wayang Hanyut : Merentasi Saksi’ berdasarkan Novel Almayer’s Folly: Joseph Conrad’ oleh U-Wei Haji Saari telah berlangsung di Galeri Petronas, Level 3, Suria KLCC, Kuala Lumpur pada pagi Sabtu.

Majlis yang merungkai perjalanan filem Hanyut arahan U-Wei berdasarkan novel antarabangsa ‘Almayer’s Folly’ tulisan Joseph Conrad ini turut dihadiri oleh YM Raja Ahmad Aminullah, SM Zakir dan Rebecca Ilham.

Ketika berucap dalam sesi selama 3 jam tersebut, pengarah filem Hanyut, U-Wei menegaskan, ‘pembikinan filem dengan berpaksikan Novel adalah satu cabaran yang agak besar kerana sebagai pengkarya kita harus faham jalan cerita yang diketengahkan di samping beberapa elemen kehidupan yang cuba disampaikan. Hanyut menekankan erti nilai kehidupan menerusi beberapa watak yang dimainkan oleh setiap pelakon yang mendukung peranannya, namun setiap kupasan yang dihuraikan mempunyai persepsi yang berbeza’.

S.M Zakir dalam kenyataannya pula berharap, ‘peminat filem tempatan dapat menerima naskhah yang diaptasikan dari novel tersebut kerana ia sebuah karya klasik yang menuntut kita mengenali dan memahami unsur yang dinyatakan. Hanyut sebenarnya karya filem yang berunsurkan seni tanpa melupai nilai sejarah dan masyarakat sekelilingnya. Ia harus ditonton setiap lapisan masyarakat kerana ada sesuatu yang berharga di dalamnya’.

Hanyut yang sudah ditayangkan di beberapa pawagam tempatan bermula 24 November 2016 yang lalu merupakan filem keenam arahan U-Wei Haji Saari selepas Perempuan, Isteri & … ? (1993), Black Widow – Wajah Ayu (1994), Jogho (1999), Kaki Bakar (2001) dan Buai Laju-Laju (2004).

Menariknya juga, novel bertajuk ‘Kemudi Almayer’s Folly : Joseph Conrad & Hanyut: A Journey’ turut dijual pada khalayak dan tetamu yang hadir serta Pameran Seni Kontemporari di Aneks mengenai ‘Wayang U-Wei HANYUT merentasi Saksi’ itu turut berlangsung di Galeri Petronas KLCC sehingga 12 Februari 2017.

Program yang dianjurkan oleh Galeri Petronas ini khabarnya akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membawa hasil karya seni tempatan untuk dipertontonkan serta diperhalusi bersama.

© 2017 Finas Media, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia.