PENGENALAN

Festival Filem Malaysia adalah sebuah acara tahunan anjuran FINAS yang berprestig yang diadakan untuk menghargai penggiat-penggiat seni tanah air dalam menghasilkan karya-karya yang bermutu. Ia juga akan memberi peluang kepada penggiat filem baru untuk menonjolkan kebolehan mereka.

KONSEP

Festival Filem Malaysia akan menyumbang ke arah penghargaan budaya filem. Pencapaian yang bermanfaat oleh penggiat filem yang berhak menerima anugerah FFM. Anugerah sedemikian akan mempertahankan kualiti dan kreativiti filem tempatan dan juga akan menggalakkan pengeluaran filem tempatan.

OBJEKTIF

Objektif Festival Filem Malaysia adalah untuk meraikan kejayaan pengamal industri dan merangsang usaha memartabatkan industri perfileman tanahair serta menggalakkan penghasilan karya filem yang bermutu dan diterima di peringkat global. Menyebarluaskan Program Merakyatkan Filem (PMF) dalam menyemai sikap mencintai filem tempatan di kalangan masyarakat.

SEJARAH

Sejak penganjuran edisi pertama Festival Filem Malysia (FFM) yang dipelopori oleh Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA) dalam tahun 1980, FFM terus menjadi gelanggang mengiktiraf hasil seni filem dan karyawan filem. Acara ini menjadi satu institusi piawaian mutu secara tidak langsung dalam menilai dan mengadili kecemerlangan kualiti penerbitan filem tanah air sama ada genre filem cereka, dokumentari, pendek, animasi dan iklan.

Menariknya, tahun 2006 menyaksikan FFM edisi ke-19 dilaksanakan oleh Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) yang mendapat sambutan penuh daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) dan FINAS, badan yang dipertanggungjawabkan membangunkan industri filem Malaysia.

Senario ini disifatkan seperti kata pepatah “bagai sirih pulang ke gagang, pinang pulang ke tampuk” apabila FFM kembali ke tangan pendukung dan warga filem sendiri. Sejarah merekodkan FFM juga pernah dikendalikan oleh persatuan perfileman seperti GAFIM sebelum tercetusnya polemik di kalangan persatuan perfileman siapakah lebih layak mengajurkan festival yang menjadi kebanggaan warga filem ini.

Maka, FINAS dengan peruntukan tertentu selaras dengan Akta 244 Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Negara iaitu “untuk mengambil bahagian dalam pertubuhan-pertubuhan yang berkaitan dengan perusahaan perfileman dan untuk mengadakan, menganjur dan mengambil bahagian dalam pesta-pesta, pameran-pameran dan seminar-seminar filem atau apa-apa aktiviti yang seumpamanya di dalam dan di luar negara”, telah mengambil alih peranan pengajuran FFM sejak FFM-16 pada tahun 2003.

TEMA FFM29 (TRANSFORMASI CITRA KARYA)

“Menggambarkan evolusi sinema Malaysia yang berusia 84 tahun yang bergerak seiring dengan transformasi pembikinan, teknologi dan aspirasi selain membawa citra (identiti)    tempatan ke peringkat dunia”