Damansara, 9 Februari – Mengangkat kisah sejarah berkaitan pendatang dari Vietnam yang melarikan diri ke Pulau Bidong, Terengganu di awal era 70-an, pengarah Yusof Kelana tampil dengan filem terbaharu berjudul ‘Bidong : The Boat People’. Filem yang bertemakan cinta imigran ini menampilkan barisan pelakon seperti Taufik Hanafi, Irene Wong, Livolnia Ricky, Lawrence Poh, Abby Nour, Dickson Chin Z. Zamree, Vanessa Lim dan Man Raja Lawak.

Menurut Yusof Kelana, beliau menggarap filem ini adalah bertujuan untuk memberi pengetahuan kepada generasi baharu mengenai sejarah asal usul Pulau Bidong yang kini menjadi tarikan pelancong di Terengganu. Beliau juga turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada barisan pelakon dan pihak kerajaan termasuk Finas dan Jabatan Perikanan Terengganu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Terengganu, serta Lembaga Muzium Terengganu atas kerjasama sepanjang penggambaran filem ini dijalankan.

Filem terbitan YKS Film Maker Sdn Bhd dengan kerjasama SKT Media Entertainment Sdn Bhd ini juga menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) dan dihasilkan dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Vietnam.

Turut hadir sama memberi sokongan dalam Malam Gala Bidong di mmCineplexes, eCurve, Mutiara Damansara ini ialah YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Timbalan Ketua Pengarah FINAS, para penerbit filem, penggiat seni, dan rakan-rakan media. Filem ini bakal menemui penonton 1 Mac depan.