Oleh : @FinasMalaysia

Hulu Kelang, 9 Mac- Majlis pelancaran filem ‘Munafik 2’ karya sepenuhnya Syamsul Yusof terbitan Skop Productions telah disempurnakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak di Dataran Karyawan FINAS, Kompleks Studio Merdeka malam tadi. Menurut beliau lagi, kejayaan industri filem tempatan perlu disokong pelan jangka panjang dan kerajaan melalui Content Malaysia Pitching Centre akan juga memberi tumpuan kepada aspek pembangunan skrip selain peranan agensi seperti RTM untuk membantu promosi dan hebahan filem-filem tempatan agar sampai kepada rakyat.

Dalam pada itu, kejayaan besar filem seram Islamik, ‘Munafik’ mencatat kejayaan pecah panggung melebihi RM19 juta dan memenangi 5 anugerah di Festival Filem Malaysia (FFM28) tahun lalu termasuk Filem Nasional dan Pengarah Terbaik buat pengarahnya, Syamsul Yusof memberi peluang untuk meneroka dan menghasilkan karya yang lebih baik. “Alhamdulillah, kejayaan filem Munafik adalah cabaran bagi saya menghasilkan karya dan persembahan produksi yang lebih baik dan sehingga kini skripnya masih dirombak bagi mendapatkan impak yang lebih berkesan” ujar Syamsul yang akan berganding buat pertama kalinya dengan Pelakon Wanita Terbaik FFM21 dan FFM 25, Maya Karin selain barisan pelakon hebat Nasir Bilal Khan, Fauzi Nawawi dan Fizz Fairuz.

Turut hadir ke majlis pelancaran tersebut ialah Pengerusi FINAS, YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam, Timbalan Ketua Pengarah FINAS, Azmir Saifuddin Mutalib, Ahli-Ahli Perbadanan FINAS, Presiden-Presiden Persatuan, karyawan industri dan pihak media.