Kota Damansara, 2 Ogos – Mengimbas kembali kehebatan drama siri popular Cinderella satu ketika dahulu, AiFA Motion Pictures Sdn Bhd hari ini tampil membawakan filem terbaru arahan Ahmad Idham Nadzri iaitu Pencuri Hati Mr Cinderella. Filem yang menggandingkan Ahmad Idham dan Atikah Suhaime sebagai teraju utama ini, memaparkan kisah cinta seorang duda iaitu Salman bersama gadis GRO yang bekerja di sebuah pusat karaoke iaitu Amira. Pertemuan yang tidak dirancang itu membuka hati Salman untuk bercinta semula setelah menghilangkan diri selepas penceraiannya dengan Nurul.

Satu majlis pratonton bagi filem Pencuri Hati Mr. Cinderella ini telah berlangsung meriah di TGV Encorp Strand Mall, Damansara malam tadi turut menghidangkan para penonton dengan beberapa babak ‘tribute’ drama popular ‘Cinderella’ yang pernah dibintangi pelakon wanita hebat, Haliza Misbun sebelum ini. Ahmad Idham dalam kenyataannya tadi juga amat menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada seluruh ahli keluarga, sahabat handai, tenaga kerja produksi, rakan-rakan media dan peminat atas sokongan berterusan dan kehadiran dalam majlis tadi.

Filem yang berdurasi 93 minit ini turut dibintangi oleh Dato’ Eizlan Yusof, Cat Farish, Faye Kusairi, Hairul Azreen, Ku Faridah, Kuna, Khaty Azean dan Dayana Roza akan menemui peminat filem di seluruh negara bermula 10 Ogos 2017 ini.