Santubong, 8 Disember – “Program Mentoring Sarawak – Bengkel Latihan Teori & Praktikal Produksi TV” anjuran Creative Content Industry Guild Malaysia (CCIG) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah berjaya dilaksanakan bermula pada 4 Disember lalu bertempat di Pejabat FINAS Cawangan Sarawak. Bengkel yang berlangsung selama 5 hari itu telah dikendalikan oleh penggiat industri berpengalaman iaitu YBhg. Dato’ Jurey Latiff Rosli, Encik Yusof Kelana dan Encik Indra Che Muda.

Seramai 20 orang peserta terdiri daripada kalangan pelajar dan penggiat industri kreatif Sarawak telah terlibat dalam menjayakan bengkel ini. Objektif pelaksanaan bengkel adalah memberi penekanan dan pendedahan mengenai bidang pengarahan, pengurusan produksi, seni lakonan dan teknik penyuntingan. Program seumpama ini secara tidak langsung dapat memupuk dan meningkatkan kemahiran para peserta dalam menguruskan sesebuah produksi. Selain itu, program ini juga merupakan inisiatif kerajaan dalam pembangunan modal insan khususnya bagi kemajuan industri kreatif di Sarawak.

Majlis penutup dan penyampaian sijil program telah disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Unit Latihan Industri, Cik Habibah Zainal Abidin. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah FINAS Cawangan Sarawak, Encik Maffizan bin Saupie.