Program “Buy The Future” yang berlangsung selama 10 hari bermula 13 Disember sehingga 23 Disember 2017 telah berjaya dilaksanakan hasil kerjasama di antara FINAS, FELDA, Ikatan Seni Komuniti FELDA (ISKAF) dan Majlis Belia FELDA Malaysia di FELDA Sahabat, Lahad Datu, Sabah. Program pemacuan ini bertujuan untuk membuka minda dan memberi pendedahan khususnya kepada golongan belia FELDA mengenai Industri Kreatif Malaysia dalam bidang perfileman menerusi bengkel perkongsian ilmu dan sesi bersama mentor yang telah diadakan. Selain itu, program ini juga merupakan inisiatif kerajaan dalam pembangunan modal insan khususnya bagi kemajuan industri kreatif di Sabah.

Seramai 30 peserta yang terdiri daripada belia anak FELDA telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti di belakang tabir seperti Pengurusan Produksi, Penataan Seni, Teknikal, Kamera, Pencahayaan dan Audio, Pengarahan, Tatarias, Kesan Khas serta Keberkesanan Penggunaan Media Sosial. Antara mentor yang terlibat menjayakan program ini adalah Zalina Basha, Que Haidar, Mahmood Sukhairi, Saiful Zul Fiqrie, Azhar Zainal, Saiful Zul Arief dan Faizal Lockman. Selain pelbagai bengkel yang disertai, para peserta juga turut berpeluang bersama kru produksi telefilem ‘Matahari’ arahan bersama Jalil Hamid & Zainorhisyam Samudin.

Majlis penutup telah diadakan di Dewan Semai Bakti Desa Kencana dan disempurnakan dengan sesi pratonton telefilem Matahari dan penyampaian sijil program kepada peserta-peserta yang terlibat oleh Encik Anuar Malek, Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) FELDA. Turut hadir bersama YBhg. Datuk Haji Juany Bin Haji Salleh, Pengurus Besar FELDA Wilayah Sahabat, Encik Jalil Hamid, Presiden ISKAF, Encik General Haji Linjal, Ketua Peneroka FELDA Wilayah Sahabat, Cik Habibah Zainal Abidin, Ketua Penolong Pengarah Latihan Industri FINAS dan penduduk FELDA Wilayah Sahabat, Lahad Datu.