PUTRAJAYA, 28 Februari – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) buat julung kalinya mengungguli Anugerah Iklan Terbaik Mengenai Malaysia di 20th Malaysia Tourism Awards di Dewan Perdana, PICC malam tadi.

Anugerah yang dianjurkan setiap dua tahun ini merupakan satu pengiktirafan pihak kerajaan kepada penggiat industri tempatan dan antarabangsa dalam memberi sokongan dan komitmen meningkatkan profil pelancongan di Malaysia. Majlis berkenaan menyaksikan sebanyak 52 anugerah merangkumi 14 kategori disampaikan kepada pemain-pemain industri pelancongan yang menyumbangkan kecemerlangan kepada produk dan perkhidmatan industri berkenaan.

Terdahulu, Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS telah menerima trofi bagi kemenangan ini yang telah menobatkan iklan televisyen Tahun Melawat Pahang 2017 sebagai pemenang. Iklan ini telah dihasilkan oleh Bahagian Pengurusan Produksi FINAS dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang dan diterbitkan oleh Muhammad Naim Mazlan.

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, YB Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz serta isteri, YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri IR Idris Haron serta isteri, YBrs Tuan Haji Mohd Zulkifli Ab Wahab, Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal FINAS, Puan Subaidah Md. Top, Pengarah Kreatif & Teknikal FINAS, dif-dif jemputan, penggiat industri dan para media.