oleh : Amy Ikram
Gambar : Aidi Emizul

Jenazah Allahyarham Tan Sri SM Salim selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur kira-kira jam 2.45 petang. Beliau meninggalkan isteri, Puan Sri Aishah Abdul Ghani bersama tujuh orang anak iaitu Siti Nuraishah, 60, Sheikh Samsuddin, 68, Siti Nur Huda, 56, Siti Maheran, 54, Siti Huzayah, 53, Sheikh Shamsul, 51, dan Siti Zubaidah, 35.

SM Salim atau nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros, 88, meninggal dunia di kediamannya di Sering Ukay, Hulu Kelang, Selangor, 29 Disember 2016 , pada jam 5.45 petang. Arwah yang merupakan bekas juruhebah Radio Malaya (sekarang RTM) secara sambilan pada tahun 1957, adalah penghibur serba boleh yang mencipta nama sebagai penyanyi dan pejuang irama tradisional serta melayu klasik pada era 50an hingga 90an.

Ketika ditemui media Finas, Sheikh Shamsul, anak Allahyarham Tan Sri SM Salim berharap, ‘semua stesen radio dan televisyen di Malaysia supaya tidak memutarkan atau memainkan lagu nyanyian arwah bapanya selama 44 hari. Ini permintaan arwah semasa hidup dan terpulang kepada budi bicara pihak berkenaan untuk melaksanakannya atau sebaliknya. Menyedari hakikat bahawa arwah bapanya merupakan seorang ‘public figure’, beliau mengharapkan sesuatu yang baik dari semua bagi menghormati arwah dan amanatnya. Tambahnya lagi, semasa hayat arwah bapanya masih hidup, beliau merasa amat bimbang dengan perjalanan seni muzik melayu klasik dan tradisional pada masa kini yang tidak menentu; ada yang dilupakan terus, bahkan beliau (arwah Tan Sri SM Salim) berkata ‘siapa nak ganti dirinya lagi?’, itu kerisauan yang berbekas di jiwa anak seni yang luhur budi pekertinya di sebalik setiap lagu dan lirik yang dihasilkannya.

‘Jika dihayati bait puitis lirik lagu yang dinyanyikan serta dihasilkannya, cukup indah senikatanya. Beliau adalah mentor kepada penyanyi baharu dan pemergiannya merupakan kehilangan yang sangat besar terhadap industri seni dan muzik melayu pada masa kini’, ujar penyanyi bersuara lunak, Uji Rashid ketika berkongsi sesuatu yang cukup istimewa mengenai figura di sebalik nama Tan Sri SM Salim. ‘Selamat Tinggal Bungaku, Kenang Daku Dalam Doamu, Mohon Kasih, Pandang Pandang Jeling Jeling, Kong Kong Kak, Pasir Roboh’, dan banyak lagi antara beberapa judul lagu popular nyanyian Tan Sri SM Salim yang begitu dekat dengan jiwa setiap peminat seni dan muzik di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei khususnya.

Kemerduan suara dan gelak ketawanya pasti akan diingati rakan seperjuangannya yang sama-sama mencurah bakti dan keringat dalam industri muzik ketika itu. ‘Segala susah payah diharungi bersama. Beliau adalah rakan baik yang tidak lokek dalam berkongsi ilmu pengetahuan walaupun dengan penyanyi baharu yang ditemuinya. Beliau adalah insan yang telah membawa saya ke dalam industri ini, dan pemergiannya adalah kehilangan besar buat negara’, ujar Datuk M.Daud Kilau dengan nada sedih berkongsi suka duka semasa hayat dikandung badan bersama arwah yang dianggapnya sebagai abang kandungnya dalam dunia muzik yang sama sama diceburi.

Turut berkongsi kesedihan atas pemergian Biduan Negara Tan Sri SM Salim adalah Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd. Razak, dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
‘… Sungguh jauh dikau pergi
Berpisah untuk selamanya
Tiada lagi senyum mesra….’

Al Fatihah, moga roh Allahyarham Tan Sri SM Salim ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan disayangiNya. Amin.

© 2016 Finas Media, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia.