KOTA KINABALU, 16 Sept- Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2017 yang disambut meriah dengan kehadiran hampir 60,000 pengunjung di Perkarangan Kompleks Sukan Likas. Di dalam ucapannya, Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Razak menyeru akan kesatuan dan kesepakatan di antara rakyat dan jurang pembangunan di antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak dirapatkan.

Turut hadir ialah tetamu kehormat Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni; isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bersama Sambutan Hari Malaysia 2017, Datuk Masidi Manjun.

Penyertaan FINAS yang diketuai Ketua Pengarahnya, Dato’ Fauzi Ayob turut menyemarakkan sambutan Hari Malaysia ini dengan pengisian program-program menarik seperti penerbitan promo dan penyertaan di dalam pameran interaktif dengan pengisian meningkatkan kecintaan kepada agama, negara dan bangsa.