Selamat Datang ke laman web rasmi FINAS
Kemudahan Web W3C
English    
Dana: Duti Hiburan
Anda berada di : Utama > Dana

 

GALAKAN KEWANGAN MELALUI DUTI HIBURAN

Bantuan Skim ini dilaksanakan dengan persetujuan kerajaan-kerajaan negeri, pengeluar filem cereka pawagam tempatan layak menerima amaun bayaran duti hiburan yang diperolehi melalui jualan tiket dipawagam yang terlibat.

GARIS PANDUAN KELAYAKAN DAN URUSAN PEMBERIAN GALAKAN MELALUI KUTIPAN DUTI HIBURAN BAGI FILEM-FILEM TEMPATAN

  1. Pengeluar filem tempatan yang layak menerima pemberian galakan melalui kutipan duti hiburan adalah pengeluar filem yang mempunyai lesen pengeluaran filem yang sah dikeluarkan oleh FINAS.
  2. Filem-filem tempatan yang layak adalah filem-filem yang dikeluarkan oleh pengeluar filem tempatan yang dilesenkan pada atau selepas 1 Januari 1984. Tarikh pengeluaran dikira dari tarikh filem tersebut diluluskan untuk pemameran oleh Lembaga Penapisan Filem.
  3. Pada tarikh pengeluaran, pengeluar filem berkenaan hendaklah mempunyai lesen pengeluaran filem yang masih sah laku.
  4. Hanya pengeluar asal filem tempatan yang berlesen itu sahaja pada sebarang waktu layak menerima pemberian galakan melalui kutipan duti hiburan. Jika hak milik kawalan filem tempatan berkenaan dijual kepada pihak lain, jualan hak filem tersebut kepada pembeli tidak akan melayakkan pembeli dan pengeluar asal berkenaan menerima pemberian galakan melalui kutipan duti hiburan.
  5. Pengeluar filem tempatan hendaklah mengemukakan kepada FINAS butir-butir lengkap mengenai filemnya yang telahpun terlebih dahulu diluluskan oleh Lembaga Penapis Filem Malaysia seperti diperlukan dalam borang permohonan.
  6. Berdasarkan huraian takrif filem tempatan yang diluluskan oleh Menteri, FINAS akan mengesahkan samada filem itu layak diperakukan sebagai filem tempatan ataupun tidak.
  7. Melalui permohonan, satu Sijil Perakuan Filem Tempatan akan dikeluarkan kepada pengeluar filem berkenaan untuk kegunaan dan rujukan. Borang permohonan untuk mendapatkan Sijil boleh diperolehi daripada FINAS.
  8. Pengeluar filem perlu memaklumkan kepada FINAS dengan bertulis nama-nama dan alamat pawagam yang akan memamerkan filemnya beserta dengan nama pihak berkuasa tempatan yang berkenaan dan alamat-alamatnya.
  9. Bagi setiap hari tayangan, pihak pawagam akan menyempurnakan doket filem tempatan untuk diserahkan kepada pengeluar filem, pihak berkuasa tempatan dan FINAS.
  10. Pengeluar filem akan mengemukakan permohonan mendapatkan galakan melalui kutipan duti hiburan kepada FINAS beserta salinan doket yang diterimanya daripada pawagam.
  11. FINAS akan menuntut galakan melalui kutipan duti hiburan bagi pihak pengeluar daripada pihak berkuasa tempatan/Kementerian Penerangan untuk pembayaran.
  12. FINAS akan menjelaskan tuntutan yang akan dibuat oleh pengeluar filem setelah menerima amaun peruntukan tersebut daripada pihak berkuasa tempatan/Kementerian Penerangan.
  13. FINAS akan mengenakan fee perkhidmatan sebanyak 1% dari amaun galakan melalui kutipan duti hiburan yang diterima.

Tarikh kuatkuasa pemberian galakan melalui kutipan duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Pahang Darul Makmur iaitu 1 Januari 1987 manakala Negeri Perak Darul Ridzuan dan Negeri Melaka berkuatkuasa pada 1 Januari 1988. Perlaksanaan bagi lain-lain negeri akan diumumkan dari masa ke semasa.

Dikemaskini Pada 13/09/07 12:00 AM