Hulu Kelang, 25 Ogos – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengambil inisiatif penting bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dengan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Membanteras Cetak Rompak Digital sebagai sinergi bersama menangani isu filem-filem di pawagam yang dimuatnaik ke laman sesawang oleh individu tidak bertanggungjawab dan beretika.

Isu yang jelas menjejaskan kutipan tiket di pawagam selain budaya penontonan dan muat turun secara haram mula menjadi wabak apabila filem Kau Yang Satu terbitan bersama Global Station, Astro Shaw dan Nuansa dan yang terbaru, Abang Long Fadil 2 karya Syafiq Yusof turut menjadi mangsa penyalahgunaan teknologi apabila dirakam secara langsung di pawagam ketika tayangan.

Melalui platform yang diwujudkan, Jawatankuasa ini akan menjadi ‘focal’ kepada penyelarasan tindakan dan mekanisme di antara agensi dan rakan strategik bagi membanteras isu yang melanggar peraturan ini. “Kesedaran sivik dan moral penonton untuk menghormati hakcipta dan harta intelek pihak karyawan adalah tunjang utama dan kita berharap semua pihak bekerjasama bagi menangani masalah ini” ujar Pengerusi FINAS, YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib.

Terdahulu, satu mesyuarat khas yang dihadiri Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob, Ketua Seksyen Harta Intelek KPDNKK, Rosli Ahmad, Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM, Datuk Mohd. Shafie Harun, Presiden PFM, Datuk Norman Abd. Halim, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, Penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam dan Penerbit Global Station, Datin Zaiton Md.Jiwa ini turut bersetuju bagi tayangan klip berbentuk kesedaran kepada penonton di seluruh pawagam mengenai kesalahan merakam filem ketika tayangan iaitu hukuman penjara maksima lima tahun penjara dan denda bermula RM2,000 hingga RM20,000 yang diperuntukkan di bawah Seksyen 41 Akta Hakcipta 1987.