Petaling Jaya, 5 Februari – Kemunculan pertama usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri di layar perak yang bergandingan bersama Fasha Sandha selain barisan pelakon seperti Fauzi Nawawi, Azhari Zain, Aminah Rhapor, Norman Hakim, Douglas Lim, Esma Daniel dan Fareez Fauzi bakal menemui penonton menerusi filem ‘Badang’ arahan pengarah Datuk Profesor Dr. A. Razak Mohaideen. Filem terbitan FiTA Studios Sdn Bhd dan UiTM Holdings yang membawa genre komedi aksi ini adalah berinspirasikan lagenda klasik ‘Badang’ dengan penonjolan sifat adiwira dan nilai-nilai kemanusiaan serta perjuangan di dalam membantu sesama insan.

Menurut Datuk Prof. Dr. A. Razak Mohaideen, seramai 45 pelajar dari Fakulti Filem Teater dan Animasi (FiTA) turut terlibat di dalam pembikinan filem ini sebagai tenaga produksi dan menyediakan platform pembelajaran interaktif secara langsung kepada mereka. Selain itu, ‘Badang’ turut menggunakan teknik kesan khas visual sentuhan Yusri KRU.

Turut sama hadir dalam Malam Gala Tayangan Filem Badang di mmCineplexes, eCurve ini ialah YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, barisan pelakon, karyawan industri, dan pihak media. Filem ini bakal menemui penonton di seluruh pawagam pada 15 Februari depan.