Kuala Lumpur, 25 Julai – Agensi Antidadah Kebangsaan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE) menganjurkan Majlis Pelancaran Tayangan Pesanan Khidmat Awam Antidadah di Pawagam GSC Pavilion hari ini. Majlis disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Nur Jazlan Bin Mohamed, Timbalan Menteri Dalam Negeri ini dihadiri kira 300 tetamu terdiri daripada kalangan kakitangan kerajaan, ketua-ketua jabatan dan NGO serta orang awam.

Penghasilan tiga iklan antidadah dengan judul Keluarga Menderita Kerana Dadah, Jauhi Dadah – Dadah Membunuh dan Dadah Membawa Padah ini masing-masing berdurasi selama 1 minit akan ditayangkan di seluruh pawagam GSC tidak lama lagi. Kerjasama menerbitkan Pesanan Khidmat Awam (PKA) ini adalah inisiatif daripada YB Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia melalui persetujuan bersama di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Pendidikan Pencegahan dan Publisiti (JPPP) yang lalu. Iklan-iklan yang memaparkan kesan buruk penyalahgunaan dadah ini telah pun ditayangkan di stesen-stesen televisyen utama di negara ini serta disebarkan melalui media sosial seperti youtube dan facebook bagi menyampaikan mesej kepada golongan remaja dan belia yang gemar mengunjungi pawagam supaya menjauhi penyalahgunaan dadah.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Ketua Pengarah AADK, Dato’ Dr. Abd Halim bin Mohd Hussin, Timbalan Ketua Pengarah FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Timbalan PEMADAM Malaysia, YB Senator Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah, Setiausaha PEMADAM, YBhg. Dato’ Shaiful Bahar bin Mohd Arshad, Pengerusi Skim Wajib Tayang, En. Zahrin Aris, wakil GSC, PEMADAM, rakan-rakan media dan para tetamu.