Sepang, 28 Julai – Dalam usaha meningkatkan pembangunan modal insan di kalangan penggiat industri kreatif di belakang tabir, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) Profima dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Industri FINAS, berjaya menganjurkan Bengkel “Production Management for Film & TV: Let’s Upgrade” bermula 26 Julai lalu di Seri Bayu Resort, Sepang. Bengkel yang disertai seramai 27 orang ini memberi pendedahan dan pengetahuan secara teori dan praktikal berkaitan etika kerja yang efisen, seragam dan bermutu dalam menerbitkan sesebuah drama tv atau pun filem.

Sepanjang tempoh bengkel dijalankan, peserta yang terdiri dikalangan ahli-ahli PROFIMA dan warga belakang tabir ini juga berpeluang meningkatkan kemahiran dalam menguruskan sesebuah produksi dengan mengambilkira aspek seperti pemahaman plot cerita, pemilihan pelakon dan tenaga produksi yang akan terlibat, pengurusan bajet serta mengenalpasti lokasi penggambaran yang sesuai bagi sesebuah penerbitan. Bengkel selama 2 hari ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh En. Magen Appathurai, salah seorang penerbit drama siri Indian Summer yang juga pernah terlibat dalam pembikinan filem Anna and the King dari syarikat produksi antarabangsa Biscuit Films.

Majlis penutup dan penyampaian sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Unit Latihan Industri FINAS, Puan Zuramashana binti Zakaria dan Presiden PROFIMA, Kapten Khir Md. Nor.