Mutiara Damansara, 17 Ogos – Selepas kejayaan filem Belukar dan Dendam Orang Mati, Jason Chong kini kembali mewarnai industri perfileman negara dengan filem terbaru beliau, Kau Takdirku. Menampilkan barisan pelakon hebat seperti Remy Ishak, Bront Palarae dan Ezaty Abdullah sebagai teraju utama, filem romantik terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd ini mengisahkan cinta tragis antara tiga jiwa iaitu Alya, Kamar dan Harris.

Filem yang mendapat sentuhan penulis skrip Azlina Pa’ Wan ini merupakan sebuah filem meruntun jiwa yang turut membariskan pelakon Kartina Aziz sebagai penampilan khas, Megan Tan, Aisya Hasnaa, Hasnul Rahmat dan Maya ini bakal ditayangkan diseluruh negara pada 7 September 2017 nanti. Selain daripada elemen sinematografi yang indah dan jalan cerita yang bertemakan cinta dan pengorbanan, filem ini menyemarakkan emosi penonton dengan lagu tema Engkau Milikku, nyanyian Datin Alyah.

Selain penerbit, barisan pelakon, rakan-rakan artis, karyawan industri dan pihak media, turut hadir sama memberi sokongan dalam Majlis Tayangan Perdana di mmCineplexes, eCurve, Mutiara Damansara ini ialah Pengerusi FINAS, YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Ketua Pengarah FINAS, Dato’ Fauzi Ayob, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib.