Kuala Lumpur, 22 Mac – Majlis Makan Malam Kluster GAFIM Industri Kreatif 2018 anjuran Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) telah diadakan di WOWKL! malam ini.

YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS dalam ucapan beliau menyatakan sinergi industri bersama pihak persatuan mampu mendukung kepada strategi pembangunan industri yang lebih holistik melalui kerjasama di dalam aspek pembangunan modal insan, kemahiran, jaringan data dan informasi serta penyelidikan. Sokongan dan kerjasama dua hala di antara FINAS dengan persatuan-persatuan perfileman seperti GAFIM bersama ahli-ahli dalam gabungannya cukup signifikan di dalam menjana kepada pembangunan industri yang progresif.

Dihadiri oleh presiden-presiden serta ahli-ahli persatuan perfileman, majlis makan malam ini merupakan penutup kepada Program Kluster GAFIM Industri Kreatif yang telah diadakan selama 3 hari bermula dari 20 Mac 2018 hingga 22 Mac 2018 yang melibatkan 25 persatuan perfileman. Selain makan malam, majlis juga disempurnakan dengan sesi penyampaian sijil kepada wakil-wakil penerima sijil pada malam ini dari kluster pertama yang terdiri daripada penerbit televisyen, filem, dokumentari dan animasi, kluster kedua yang terdiri daripada para pelakon, pengarah, penerbit filem, penulis skrip dan kru belakang tabir dan kluster ketiga pula terdiri daripada penerbit muzik dan rakaman.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, presiden-presiden persatuan perfileman, para penggiat seni dan rakan-rakan media.