Oleh : Ahmad Syazli Muhd Khiar

“Husin: Usop, yang kamu dah berwilcha ni pasal ape??
Usop: Bukan whilcha, wheelchair
Husin: ooo whilshey.
Usop: tu le! skolah dulu tak nak amek ape, english education. ha! semua nak gomen nolong bile dah bengap macam tuh”-Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010)

Penulis berpeluang menonton semua filem-filem beliau di pawagam dan kaca televisyen yang harus diakui, ia ibarat sebuah proses pembelajaran bagi mencari zat-zat yang cuba disampaikan dari spektrum visual dan ceritanya. Pelik, unik, pening, santai, lain macam adalah perkataan-perkataan sinonim buat penulis ketika menonton Man Laksa, Lang Buana, Trilogi Rock, Kala Malam Bulan Mengambang, Apokalips X, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Zombie Kampung Pisang dan Amir & Loqman Pergi Ke Laut.

Berpeluang menghayati pengalaman Mohamad Bin Mohamad Khalid ataupun lebih dikenali sebagai Mamat Khalid, (53) ketika Sesi Perkongsian Ilmu Pengarahan anjuran Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan FINAS baru-baru ini, dapatlah sedikit sebanyak memberi ilmu kepada khalayak akan sang pemikir, penulis, penglipurlara dan sutradara kelahiran Ipoh, Perak ini menerusinya karya-karyanya yang bersifat “absurd”, “bizzare” dan “avant-garde” –melawan arus konvensional sinema tempatan dengan mengangkat cerita-cerita rakyat marhaein.

Berdiri sebagai penerima anugerah di Festival Filem Malaysia menerusi Pengarah Terbaik FFM 21 (Kala Malam Bulan Mengambang), Lakon layar Terbaik FFM 18 bersama Saw Teong Hin (Puteri Gunung Ledang), FFM 27 (Amir & Loqman Pergi Ke Laut) dan Cerita Asal Terbaik FFM26 (Rock Oo) memberikan beliau satu profil di dalam industri yang cukup membanggakan. Jenama Mamat Khalid bukan tercipta sehari dua, namun atas kecintaan terhadap filem, muzik, seni dan budaya yang terpupuk sejak kecil telah memberikan beliau sayap untuk terus mencuba dan terbang meneroka legasinya sehingga hari ini.

Bicara beliau tentang sinema mengalir laju, sinema adalah dunia cerminan yang dapat mengimbas warna warna kehidupan yang bermain di sekeliling alam di waktu penggambaran itu dibuat. Segala hasrat yang terpahat di hati penggiat filem tersebut akan terungkap di dalam karya mereka secara terus-menerus seperti mana Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Mat Sentol, Akira Kurosawa, Jean-Luc Godard, Sayajit Ray, Jim Jarmush, Abbas Kiarostami, Federico Fellini, Vittorio De Sica dan Luis Bunuel perjuangkan; berbicara melalui seni dan bahasa filem.

●Kembara Anak Melayu di Bumi Jerman

“Layar berbelok-belok, sauh dibungkar di tempat tenang..Yang tinggal hati tak elok, yang pergi hati tak senang. Bila sampai waktu, kita akan bersama” – Hang Tuah
“Adinda bersumpah jikalau kekanda tidak kembali, adinda akan menyusul kekanda, meminjak pada tanah yang sama, bernafas pada udara yang sama ” – Puteri Gunung Ledang
Bait-bait indah bicara di antara Gusti Putri dan Hang Tuah yang ditulis Mamat untuk filem Puteri Gunung Ledang lakonan hebat Tiara Jacquelina dan Dato’ M. Nasir seakan simbolik rasa bangga, megah dan cinta akan tanahair, bangsa dan negaranya. Kembara beliau sebagai anak Melayu di Frankfurt, Jerman mencari rezeki dan pengalaman hidup dengan meninggalkan isteri dan anak-anak menjadi memori yang cukup penting di dalam hidupnya.
“Abang merasai apa itu perjuangan menumpang di bumi asing dengan melakukan pelbagai pekerjaan dan abang berpeluang mengenali filem, seni dan budaya yang diangkat di sini sebagai satu apresiasi” ujarnya yang percaya pengorbanan ini memberikan rasa lebih tinggi tentang aspirasi cintakan tanahair selain diibaratkan satu kembara mengenali sinema dunia.

Menurut Mamat lagi, apabila berpeluang kembali ke Malaysia, perasaan untuk menyumbang kepada seni semakin membuak-buak dan penjelajahan beliau sebagai karyawan industri terus bermula biarpun sedar akan cabaran dan rintangan yang bakal dihadapi.

●Letusan Fenomena Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel
Tahun 1998 memberikan dimensi baru buat Mamat Khalid yang mengemudi sebuah drama, “Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel” yang mencetuskan fenomena mengenai haru biru sekumpulan rombongan orang kampung yang ingin ke Sukan Komanwel 1998 menaiki bas. Berkonsepkan surreal dan anecdotal comedy melalui naratif insiden demi insiden yang dihadapi Cik Kiah dan rombongannya, ia menjadi malar segar sehingga hari ini. Mengemudi kisah masyarakat ternyata begitu dekat dengan jiwa Mamat yang gemar bercerita melalui pengamatan dan pengalamanya. Jelas Mamat, “orang kampung juga menyumbang kepada semangat kebangsaan dan kesukanan dengan bersungguh-sungguh menyokong acara penting negara ketika itu dan ia dekat dengan jiwa penonton ketika itu” ujarnya mengenai fenomena drama lakonan Delimawati ini yang malar segar sehingga hari ini.

Diberikan peluang mengarah drama pertamanya, Namaku Yassin lakonan Allahyarham Harun Salim Bachik terbitan Nizarman Sdn Bhd berbekalkan showreel yang menjadi resumenya, Mamat bersyukur kerana melalui drama ini, ia ibarat proses pembelajaran kerana semua perkara berkaitan teknikal pembikinan ditunjuk ajar oleh para krew. “Untuk drama ini abang habiskan masa 28 hari dan berdebar menanti respon penerbit” ujar Mamat yang belajar daripada bawah mengenai pembikinan drama sehinggalah berjaya memenangi anugerah Drama dan Pengarah Terbaik Anugerah Skrin 98 bagi cerita komedi situasi “Pinang Durian”, menewaskan drama-drama heavyweight yang menjadi trend kesukaan penerbit ketika itu.

Pukul 2 Petang, Mat Nor Khusairi & The Velvet Boys, Hari Raya Abdullah Rafie dan Arbaie Bujang Kembali meneruskan magis Mamat Khalid di kaca televisyen dengan genre komedi yang menjadi makanannya.
“Karya abang bukan lawak atau komedi” jelas Mamat yang percaya juadah yang dihidangkan adalah dari kacamatanya melihat kehidupan.

●Doktrin, Identiti Sosial dan Realisme
Sebagai seorang pembikin filem, Mamat percaya setiap karya harus dilunaskan dengan serius biar apa pun genrenya. Bertunjangkan cerita rakyat setempat dan golongan marhaein, filem adalah wadah penting menyampaikan sesuatu kepada masyarakat melebihi elemen hiburan atau komersil yang ditonjolkan. Menurutnya, filem jika dirujuk secara ilmiah, merupakan cermin yang dapat mengimbas warna warna kehidupan yang bermain di sekeliling alam di waktu penggambaran itu dibuat. Segala hasrat yang terpahat di hati penggiat filem tersebut akan terungkap di dalam karya mereka secara terus-menerus. “Walaupun diadun secara tersirat, ianya dapat menerjah masuk jauh ke dalam pemikiran orang ramai sebagai doktrin atau fahaman berbanding dengan medium hiburan yang lain. Segala suka duka imejan yang terpapar jelas dapat menembus terus ke penghayatan para penonton sehingga mampu mempengaruhi ruang escapism kepada manusia sejagat”.

Justeru, beliau bangga digelar pengarah kampung kerana ia mendekatkan dirinya dan masyarakat akan akar umbi, asal usul bangsa dan negara. Biarpun berpaksikan humor dan komedi, tanggungjawab penghasilan diambil dengan serius kerana menurutnya lagi, “filem pada abang adalah satu medium hiburan yang amat besar sumbangannya kepada setiap manusia yang berbudaya. Berbudaya seperti insan renaissance yang menghormati seni sebagai jendela untuk menghayati kehidupan. Atau setidak tidaknya berbudaya mentafsirkan seni itu sebagai sebuah seni yang mutlak” tambah Mamat lagi.

Lihat sahaja kepada konteks intelektual Man Laksa, Zombie Kampung Pisang, Rock, Estet, atau Hantu Kak Limah Balik Rumah dengan penceritaan yang mudah yang berkisar kepada warna-warni masyarakat kampung tetapi melangkaui mesej universal dan sejagat iaitu harapan, kasih-sayang, perpaduan dan kenegaraan melalui subtext, semiotik, metafora dan simbol di dalam naskhah-naskhah yang ditonjolkan beliau. Cabaran mengangkat isu-isu sosial, politik, ekonomi dan budaya secara halus di dalam ruang “cultural context” kampung dan perspektif rakyat marhaein bukanlah tugas yang mudah kerana ia perlu didampingi kejujuran dan dalam masa yang sama, tidak memburukkan memandangkan kampung itu sendiri adalah simbolik sebuah institusi yang perlu dijaga dan dihormati.

Menghormati dan menerima pandangan penonton dan pengkritik filem yang membaca filemnya dengan perspektif dan persepsi berbeza-beza dan adakalanya dilabel sebagai merapu seperti contoh ketika Man Laksa ditayangkan, Mamat menjelaskan, “abang paparkan sesuatu karya mengenai kehidupan dari mata hati abang dan sebagai pembikin filem abang harus bersemangat, bertanggungjawab dan bangga dengan hasil karya abang”.

Ya, penulis bersetuju dengan statement Mamat kerana khalayak penonton menilai sesuatu karya melalui persepsi dan latar belakangnya. Menilai “Narrative Codes” sahaja di dalam karya-karya Mamat Khalid juga sebuah proses pembelajaran yang menarik kerana setiap orang mampu keluar panggung dengan impak berbeza kerana terbahagi dengan kod Hermeneutic (mencari maksud tersirat), Proairetic (menghubung setiap babak), Semantic (mendefinisikan maksud), Symbolic (interpretasi simbol sebagai maksud lain) dan juga Cultural (merujuk latar di luar filem). Ketika penulis menonton Rock Bro baru-baru ini, rambut palsu kejung pelakonnya juga membuatkan mata hati penulis fokus memahami apa yang tersirat kerana Mamat Khalid pada pandangan peribadi penulis gemar “bergurau” dalam “serius”.

●Romantis Sang Pencinta dan Pencerita

Mengakui seorang yang berjiwa romantis berbanding isterinya, karya-karya Mamat Khalid bagi penulis mempunyai mood romantis dan feminis secara batiniahnya. Meresapi semangat Gusti Putri dan Hang Tuah di dalam Puteri Gunung Ledang, cinta sejati Cik Putih kepada Salleh (Kala Malam Bulan Mengambang), Man dan Chah (Man Laksa) dan Husin dan Cik Nin (Hantu Kak Limah Balik Rumah), sebagai contoh menjadi plot penting mengerakkan cerita. Menurut Mamat, membesar dengan karya-karya sasterawan negara juga memberi ilham kepada beliau menulis perkara-perkara yang indah seperti kasih sayang melalui spektrum berbeza di dalam filem.

Perlambangan sifat kasih sayang dan kemanusiaan di dalam karya-karya Mamat Khalid juga dapat dilihat melalui semangat setiakawan meghadapi cabaran (Amir & Loqman Pergi Ke Laut), penyatuan kumpulan dan puak berbeza (Apokalips X), perjuangan terhadap seni muzik (Rock Bro), mempertahankan kedaulatan (Lang Buana, Usop Wilcha dalam Warewolf Dari Bangladesh dan Zombie Kampung Pisang) serta kemasyarakatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah).

●Konsep “Auteur” , “Anti-Hero” dan “Ensemble Cast”

Penulis juga terpanggil bertanyakan kepada pengarah prolifik ini akan setiap karyanya yang bertunjangkan watak-watak anti-hero yang mempunyai kekurangan diri dan kelemahan seperti di dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah, Man Laksa, Lang Buana, Zombie Kampung Pisang ataupun trilogi Rock, jawab Mamat tertawa, “abang seorang yang sederhana dan “plain”. Siapa sangka, Awie dan Dato’ Rosyam Nor yang sering dijenamakan hero maskulin menerusi filem-filem mereka sebelum ini dibangunkan dengan karakter-karakter berdimensi anti-hero oleh Mamat Khalid dan meninggalkan impak segar kepada penonton dan menyerlahkan lagi kekuatan lakonan mereka. Di dalam aspek ini, dapat dilihat akan sisi dominan Mamat sebagai “auteur” di dalam setiap naskhahnya yang bertunjangkan visi dan aspirasi beliau sebagai pembikin filem. Seperti mana Stanley Kurbick, Alfred Hitchcock atau Martin Scorsese sebagai auteurs, jenama Mamat Khalid sangat melekat di dalam setiap karyanya kerana beliaulah yang bercerita, menulis dan mengarah dengan gaya yang beliau cipta. Pendek kata, sesiapa yang pernah menonton filemnya akan berkata, “Inilah Mamat Khalid” tanpa huraian panjang.

Naratif berorientasikan “collectivity” dan “community” dengan pembangunan karakter-karater dominan sebagai “ensemble cast” di dalam setiap naskhah juga menjadi keunikan buat penggemar karya-karya Mamat Khalid. Lihat sahaja Estet, Apokalips X, Kala Malam Bulan Mengambang, Trilogi Rock dan Hantu Kak Limah Balik Rumah yang digerakkan oleh barisan watak-watak yang menyumbang kepada jalan cerita. Menurut Mamat, menjadi seorang yang kurang berwarna secara peribadi adalah cabaran utama menghasilkan naskhah yang mempunyai dimensi karakter yang pelbagai warna. Tanpa prejudis, Mamat Khalid adalah pengarah yang berani mempertaruhkan barisan pelakon bukan komersial di dalam setiap karyanya dengan meneroka sisi berbeza buat mereka. Lihat sahaja Hantu Kak Limah Balik Rumah yang mencipta sejarah pecah panggung melebihi RM8 juta, Kak Limah (Delimawati), Husin (Awie), Usop Wilcha (Shy8), Pak Jabit (Man Kadir), Sofi Jikan (Wak Joko) dan Abi Hurairah (Johan) telah membentuk pasukan ‘ensemble’ yang unik sehinggakan satu negara bergegar dengan fenomena si Usop Wilcha.

Di dalam Rock Oo sebagai contoh, biarpun dialog amat sedikit buat Slash (Pekin) dan Black (Azmi Bahron) berbanding Amy Mat Piah (Que Haidar) dan Jijo (Khir Rahman), pembangunan dan variasi setiap karakter yang dicipta Mamat Khalid telah berjaya memberikan impak penontonan yang cukup tinggi. Sebagai penulis dan pengarah, Mamat perlu hanyut, larut dan tenggelam di dalam setiap watak ciptaannya yang bukan sekadar fiksyen tetapi dimanusiakan dengan jujur dan berkesan.

“Cuba bayangkan menjadi abang sebagai penulis yang perlu berimaginasi dengan seribu satu karakter”, ujarnya sambil tersenyum.

●Cabaran Anak Seni

Terlalu banyak cabaran dan rintangan yang dihadapi insan seni kreatif ini bagi membina satu profil nama yang disegani dan dihormati. Bersyukur dikurniakan isteri dan anak-anak yang sentiasa teguh berdiri, pemilik Sarang Art Hub Tanjung Malim ini yakin setiap rencana dan perjalanan ini tertulis indah oleh Yang Maha Esa. Pulangan kutipan filem yang rendah, pinjaman, birokrasi, stigma penonton dan pengkritik adalah asam garam yang perlu ditempuhi selama lebih 20 tahun berjuang sebagai insan yang mencintai dunia seni ini.

“Abang tidak terus berada di sini, semuanya bermula dengan sebuah mimpi dan keberanian mencapai apa yang diri abang ingini” tutur Mamat yang percaya akan penjelajahan mencari ilmu tidak seharusnya terhenti dan setiap ruang dan peluang memberi inspirasi kepada beliau untuk terus memberikan sesuatu kepada khalayak dengan cara tersendiri. Beliau akan terus berjuang menghasilkan filem-filem yang berbagai genre dan konsep termasuklah pembikinan filem sejarah “Pasir Salak” yang memerlukan kajian mendalam.

Menutup perbualan, Mamat secara simbolik berkata,
“Di dalam ghairah mencari sesuatu di luar kotak
Masih ada di dalam kotak yang berharga belum digali”

Penulis merupakan Pengarah Galakan Penggambaran FINAS

@FinasMalaysia