Kuala Lumpur, 14 Ogos – Selaras dengan pelantikan FINAS selaku Badan Peneraju Industri Bidang Kandungan Kreatif bagi Tahun Kedua (2017) yang berperanan membina kecemerlangan modal insan melalui komponen pensijilan dan pentauliahan, satu Bengkel Skill Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) Bidang Sinematografi telah diadakan bertempat di Hotel Concorde, KL bermula pada 14 Ogos sehingga 15 Ogos 2017. Disertai oleh 7 orang panel pembangun yang sebahagiannya daripada ahli Malaysian Society Cinematography (MySC) dan menerima pengiktirafan dari Creative Content Industry Guild (CCIG), barisan karyawan yang bertanggungjawab merangka pengisian bagi NOSS selain menjadi pegawai penilai bagi program ini adalah Bade Hj Azmi, Raja Mukhriz, Filus Ghazali, Indra Che Muda, Cheong Yuk Hoy, Abdullah Mohd Ali, Ali Hussain dan Mohd Shaufe A.Wahib.

Melalui platform pembangunan modal insan, program NOSS memberi peluang kepada penggiat industri dan komuniti untuk membina portfolio industri mereka melalui pemberian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di dalam bidang kandungan kreatif yang ditawarkan melalui bengkel pembelajaran anjuran FINAS ataupun di pusat pengajian yang terpilih. Ia sekaligus menjana kepada usaha kerajaan meningkatkan profesionalisme dan pembangunan ilmu penggiat industri melalui sistem pembelajaran berteraskan modul-modul yang digariskan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.