Kejayaan berganda buat pembikin filem Malaysia apabila filem cereka Tamil tempatan, ‘Sughamaai Subbulakshmi’ (SSL) arahan pengarah muda berbakat besar, Karthik Shamalan merangkul anugerah Pengarah Terbaik manakala Punitha Shanmugam dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di 9th Tamil Norway Film Festival di Oslo, Norway. Terdahulu, filem ‘slasher thriller’ arahan Karthik, ‘The Farm: En Veettu Thottathil’ juga memenangi anugerah Filem Terbaik di Yellow Fever Independent Film Festival, Ireland pada tahun 2017.

Selain itu, karyawan filem Malaysia turut mencipta kejayaan di dalam kategori filem pendek di festival berprestij ini melalui pencapaian Filem Pendek Terbaik yang dimenangi ‘Thiruvin Manggai’ karya Viknish Lokarag Asokan selain filem ‘Mudhal Padayal’ berjaya merangkul anugerah Pengarah Terbaik buat Mathankumaran Madhavan dan Anugerah Khas Juri buat R.Thinakaran.