Kuala Lumpur, 31 Ogos – Kontinjen FINAS yang diketuai Tuan Haji Mohd Zulkifli Ab Wahab, Timbalan Ketua Pengarah Produksi & Teknikal bersama skuad animasi negara hari ini menyertai perarakan dan perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017 yang berlangsung di Dataran Merdeka pagi tadi.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, bersama Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak dan isteri serta ribuan rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan persembahan yang mengimbau kembali detik negara mencapai kemerdekaan suatu ketika dahulu. Membawakan tema “Negaraku Sehati Sejiwa”, acara ini menyuntik semangat kesepaduan, kesefahamaan, kekitaan dan patriotisme dikalangan rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama.

Terdahulu, FINAS yang mewakili Kontinjen Animasi Malaysia dalam acara perarakan ini menampilkan 26 maskot animasi negara seperti Boboiboy, Didie and Friends, Kluang Man, Awang Kenit dan pelbagai lagi telah menarik perhatian ribuan pengunjung yang hadir memeriahkan sambutan hari kebangsaan ini.

Turut hadir memeriahkan sambutan ialah YB Datuk Seri Dr.Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato Sri Dr.Sharifah Zarah Syed Ahmad, Ketua Setiausaha KKMM, Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, ketua-ketua jabatan dan agensi, rakan-rakan media dan orang awam.