Oleh: Amy Ikram
Wartawan : Aidi Emizul
Foto : Rafi Rahman

“Kalau tidak kerana P.Ramlee, maka tidak akan muncul Seniman Jins Shamsuddin, kerana P.Ramlee lah, saya lahir dengan bakat saya ke dunia filem”, ujar Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri Datuk Dr Jins Shamsuddin ketika hayatnya. Ungkapan keramatnya itu masih terngiang-ngiang di fikiran tatkala mengimbas sejarah perjuangan seniman tersohor yang amat di sayangi seluruh pelusuk negara. Bakat semulajadinya dalam bidang lakonan, serta sifat budi pekertinya dalam aspek kemasyarakatan samada dalam bidang seni, filem mahupun politik amat dikagumi rakan taulan, sahabat artis, para seniman dan seniwati, menjadikan figura tersohor ini antara seniman yang cukup hebat di mata penggiat dan peminat filem tanah air.

Dalam bidang lakonan, nama Jins Shamsuddin antara yang teratas selepas Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee. Bakat kreativitinya usah dipertikaikan kehebatannya. Malahan apa jua watak yang diberikannya, pasti akan digalas dengan baik sehingga dikagumi rakan artis dan pelakon yang pernah bekerja bersamanya. Pancha Delima, yang diterbitkan pada tahun 1957 berjaya meletakkan nama Jins Shamsuddin sebagai bintang filem. Lakonan berkesannya sebagai Suria Kenchana, berganding bersama Seniwati Hashimah Yon berjaya mengangkat nama Jins Shamsuddin di layar perak. Lebih 40 buah filem berjaya dilakonkannya, antaranya ‘Pancha Delima, Matahari, Kasih Sayang, Bidasari, Sarjan Hassan, Gerak Kilat, Si Tanggang, Sumpah Wanita, Lela Manja, Indera Bangsawan dan banyak lagi. Selain itu, bekas Senator ini juga bertanggungjawab mengemudi filem-filem malar segar seperti Bukan Salah Ibu Mengandung, Di Belakang Tabir, Menanti Hari Esok, Esok Masih Ada, Tiada Esok Bagimu, Esok Untuk Siapa, Bukit Kepong, Ali Setan dan filem Balada.

Setiap lakonannya pasti akan dirindui para peminat filem tanah air, kerana seniman kesayangan ramai itu telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada Rabu, 1 Mac 2017 kira-kira jam 5.45 petang. Jenazah Allahyarham Tan Sri Datuk Dr Jins Shamsuddin selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Hulu Kelang, Selangor pada Khamis, 2 Mac 2017 jam 10.30 pagi. Allahyarham meninggalkan empat orang anak iaitu Muhammad Jafri (hasil perkahwinan dengan seniwati Rahmah Rahmat), Putera Hang Tuah @ Shazrin (hasil perkahwinan dengan Jamilah Shukur) dan dua anak hasil perkahwinan bersama Puan Sri Halijah Abdullah (kini) iaitu Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim.

Allahyarham pernah menyandang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas sekaligus menjadi Pengerusi Finas pada 15 Sept 2005 selama tiga tahun. Pelbagai aktiviti telah dirangkanya, antaranya adalah menstrukturkan organisasi Finas sebagai pusat perkembangan dan pentadbiran perfileman terunggul di rantau asia melalui Dasar Perfileman Negara yang diperjuangkannya sehingga kini. Ketika di temui media di Masjid Ar Ridzuan, Hulu Kelang, Selangor, Pengarah, Pelakon dan Penerbit Filem Terkenal, Datuk Yusof Haslam menegaskan pemergian Tan Sri Jins sebagai satu kehilangan besar buat negara. Allahyarham merupakan insan seni dan pejuang filem sejati yang banyak memperjuangkan hak golongan artis dan karyawan filem tempatan sejak beliau menjadi Senator di Dewan Negara. Ketegasan Tan Sri Jins dalam soal kerjaya membabitkan hak golongan karyawan seni dipandang tinggi malahan seniman tersohor itu merupakan rakan baiknya yang sama sama berganding bahu mengangkat industri seni dan filem tanah air ke peringkat yang boleh dibanggakan. Selain itu, beliau (Tan Sri Jins) adalah individu yang bertanggung jawab mewujudkan Skim Wajib Tayang Finas bagi filem-filem tempatan yang ingin di tayangkan di pawagam. Tambahnya lagi, penubuhan Finas pada tahun 1981 melalui Kongres Jawatankuasa Kemajuan Filem membentuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia di Tapak Studio Merdeka adalah cetusan idea dan keringat bakti Allahyarham Tan Sri Datuk Dr Jins Shamsuddin yang tiada tolok bandingnya.

Noorkumalasari, pelakon terkenal era 1970an yang pernah berganding dengan Allahyarham Tan Sri Jins menerusi filem Menanti Hari Esok (1977), Tiada Esok Bagimu (1979) dan Esok Untuk Siapa (1982) menyifatkan Allahyarham Tan Sri Jins seorang pengarah, pelakon dan rakan seperjuangan yang sukar di cari ganti. Ketegasan beliau akan terus diingati, iaitu bagaimana susah perit kita menghasilkan filem pada waktu tu dengan sumber kewangan yang terhad, menjadikan ia suatu memori dan kenangan yang mungkin sukar dilupakan.

‘Filem dan pemikiran Allahyarham Tan Sri Jins dalam setiap karya lakonannya menjadi sumber inspirasi kami sebagai pelapis masa depan. Filem J Revolusi umpamanya adalah tribute khas buat Seniman Lagenda Jins Shamsuddin berdasarkan filem Gerak Kilat : Jefry Zain’ yang diterbitkan tahun 1966 arahan Datuk Jamil Sulong. Kehilangan Seniman Jins Shamsuddin turut dirasai saya dan rakan-rakan artis lain, walaupun saya bukan dari zaman tersebut’, ujar pelakon dan hero generasi baharu, Zul Ariffin yang ditemui di Tapak Perkuburan Islam Jalan Hulu Kelang, Selangor.

Jins Shamsuddin atau nama sebenarnya, Mohamed Zain bin Shamsuddin dilahirkan pada 5 November 1935 di Taiping, Perak adalah pelakon, pengarah dan bintang filem tersohor dari zaman kegemilangan Studio Jalan Ampas, Singapura dan meninggal dunia pada 1 Mac 2017 di Hulu Kelang, Selangor.

AL Fatihah, moga roh lagenda seni tanahair ini ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan di sayangiNya.

‘gugurnya pejuang seni sejati, bergemelapan terang hilang serinya’

SENIMAN ALLAHYARHAM TAN SRI DATUK DR JINS SHAMSUDDIN @ MOHAMED ZAIN SHAMSUDDIN
(5 November 1935 – 1 Mac 2017)

© 2017 Produksi Finas Media, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia.