Damansara, 31 Julai – Selepas kejayaan filem Zombie Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah, dan Husin Mon Jit Pakai Toncit, filem terbaru arahan Pengarah Terbaik FFM21, Mamat Khalid, ‘Hantu Kak Limah’ bakal terus mencuit hati penonton dengan kisah lucu dan misteri kematian Kak Limah setelah berkahwin dengan lelaki yang lebih muda darinya.

Mengekalkan penampilan Dato’ Awie dan Delimawati sebagai watak utama filem ini, filem komedi seram terbitan Astro Shaw & Infinitus Entertainment ini turut menampilkan Zul Ariffin, Ropie, Uqasha Senrose, Mus May, Allahyarham Rab Khalid, Pekin Ibrahim, Jue Aziz, Sabri Yunus, Dato’ Seri Vida dan ramai lagi akan menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 9 Ogos 2018 nanti.

Turut hadir menyokong dan memeriahkan Malam Gala Hantu Kak Limah di MM Cineplex, E-Curve malam tadi ialah Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, penerbit, pengarah Mamat Khalid, penggiat industri, barisan pelakon seperti Delimawati, Zul Ariffin, Ropie, Uqasha Senrose, Jue Aziz, para tetamu dan rakan-rakan media.