Shah Alam, 13 April – Satu sesi pertemuan dan jaringan industri antara FINAS dan TSR Cinemax yang berlangsung di IRDKL Mall di Shah Alam pagi tadi membuka peluang kedua-dua pihak di dalam memperkukuhkan pembangunan industri melalui platform pemameran, tayangan dan promosi filem. TSR Cinemax yang mula beroperasi sejak Ogos lalu di IRDKL Shah Alam ini menyediakan lapan panggung termasuk Royal Screen, Premiere Screen dan Grand Screen dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 1300 kerusi. Ianya juga merupakan satu-satunya pawagam pertama yang dibuka di kawasan Shah Alam turut menempatkan beberapa kemudahan lain seperti butik, pusat karaoke keluarga, dewan persidangan, dan pusat hiburan. Turut hadir dalam sesi pertemuan tersebut ialah CEO TSR Cinemax, Tan Sri Dato’ Sri Ramaswamy serta isteri, Pengurus TSR Cinemax, En. Arasu, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS, En. Azmir Saifuddin Mutalib, Pengarah Pembangunan Industri FINAS, Tuan Haji Mohd Zulkifli Ab Wahab dan Pengarah Perancangan dan Penyelidikan FINAS, Tuan Haji Abd Khalid Maulod.