Hulu Kelang, 18 Ogos – Majlis sidang media pengumuman penerbitan filem ‘Terbalik’ terbitan 42nd Pictures Sdn. Bhd telah diadakan bertempat di Pawagam Mini P.Ramlee FINAS hari ini. Kejayaan filem pertama ‘Nota’ memenangi anugerah Lakonlayar Terbaik untuk penerbitnya, Bea Tanaka di Festival Filem Malaysia ke 28 dan Pelakon Wanita Terbaik yang dirangkul Maya Karin di Anugerah Skrin 2016 ternyata terus menyuntik semangat buat pasangan Bea dan Yasu Tanaka mengorak langkah menembusi pasaran global.

Di majlis yang sama, perjanjian kerjasama strategik yang termeterai bagi hakcipta adaptasi naskhah Terbalik yang bakal dibintangi Bront Palarae ini ke 34 buah negara di seluruh dunia (remake rights) ini melalui syarikat produksi Hollywood, Ivanhoe Pictures dijangka akan membina platform untuk filem tempatan meneroka pasaran kandungan yang lebih fokus dan meluas di peringkat antarabangsa. Kejayaan projek ‘Terbalik’ melalui potensi genre thriller seram, cerita asal dan pembangunan skripnya mengenai seorang lelaki yang terperangkap di dalam bangkai kereta terbalik dan mengalami detik-detik mencemaskan dan sadis ini terlebih dahulu telah memenangi hadiah dana pelaburan $20,000 dari Aurora Media Holdings sempena kejayaan di Southeast Asia Film Financing Project (SAFF) selain disenarai pendek di 15th Hong Kong-Asia Film Financing Forum (HAF) 2016 yang lalu.

Turut hadir bersama pada majlis sidang media tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) FINAS, YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif CCAM, YBhg. Dato’ Mohd Mahyidin Mustakim dan juga rakan media.