Petaling Jaya, 15 Januari – YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS bersama Dato’ Freddie Fernandez, Presiden Karyawan Malaysia (KARYAWAN) mengadakan kunjungan kasih bagi menziarahi komposer dan penulis lagu, Datuk Ooi Eow Jin di kediamannya hari ini. Kunjungan tersebut adalah sebagai tanda prihatin kerajaan melalui manifestasi dan tanggungjawab sosial FINAS terhadap Datuk Ooi Eow Jin yang mengidap penyakit Alzheimer sejak 2015 yang lalu. Dalam kunjungan tersebut, Dato’ Fauzi telah menyampaikan sumbangan dari pihak FINAS bagi membantu keluarga beliau.

Terdahulu, Dato’ Fauzi dalam kenyataannya berkata FINAS sebagai agensi kerajaan akan terus memberi sokongan terhadap penggiat industri yang tidak berkemampuan dan memerlukan bantuan melalui platform sinergi industri bersama-sama pihak persatuan perfileman dan rakan strategik. “Kejayaan Datuk Ooi Eow Jin sebagai ikon muzik secara zahirnya telah memberi sumbangan kepada industri perfileman di belakang tabir melalui magis muziknya seperti contoh menerusi filem Ranjau Sepanjang Jalan yang membawa kejayaan kepada beliau di Festival Filem Malaysia ke 4 selain runut bunyi lagu ciptaannya Hati Yang Rapuh menerusi Filem Terbaik FFM9, Hati Bukan Kristal yang malar segar sehingga hari ini” tambahnya lagi.

Turut hadir bersama dalam kunjungan tersebut ialah Seniwati Negara, Datuk Sarimah Ahmad, penggiat industri dan para media hiburan tanah air. Untuk sebarang bantuan dan sumbangan, ia bolehlah disalurkan terus kepada akaun Ambank isteri beliau Datin Elaine Khaw (Khaw Lean Kee @ Guat Kooi) di akaun : 8881 0070 74883.