Kuala Langat, 20 Mei – Sempena Program Negaraku : Kreativiti@Komuniti yang berlangsung di IKBN Kuala Langat dari 19-21 Mei 2017, FINAS melalui Bahagian Pengurusan Produksi hari ini telah mengadakan taklimat kepada para peserta berkaitan pembiayaan dana mikro di bawah operasi Content Malaysia Pitching Centre. Dana yang merupakan suntikan dan galakan kewangan bagi pembangunan idea-idea kreatif dan segar oleh kerajaan ini mampu memperkasakan industri kreatif dan secara tidak langsung mendukung generasi muda untuk meneroka potensi yang ada melalui platform pembangunan kandungan.

Taklimat interaktif berkaitan dana tersebut telah disampaikan oleh Pegawai Eksekutif Pengurusan Produksi FINAS, En. Rizal Mat Yasin dan En. Khairul Ridhwan Abu Samah. Para peserta program turut sama berpeluang mendengar perkongsian salah seorang penerima dana ini iaitu En. Ahmad Shukran, seorang penggiat seni kreatif tanah air.
Selain itu, strategi pembangunan modal insan terus menjadi fokus Unit Latihan Industri FINAS dengan bengkel strategik penerbitan kandungan kreatif kepada para belia yang hadir melalui perkongsian pembikin muda Zan Azlee dan Ahmad Yazid. Pendedahan secara teori dan praktikal dengan teras-teras penceritaan, pembikinan dan impak telah memberi ruang kepada pembangunan potensi dan kreativiti generasi muda melalui platform yang disediakan di program ini.

Kredit : Unit Dokumentasi IKBN Kuala Langat