Damansara, 22 Jan – Dalam memastikan pembangunan industri kandungan kreatif negara terus mencapai kemajuan selaras dengan visi kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi, pembangunan profesion karyawan industri khususnya generasi muda terus diperkasakan melalui pelbagai inisiatif dan galakan.

Menurut Pengerusi FINAS, YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, “industri kandungan kreatif memacu kepada pembangunan kemahiran, kreativiti dan potensi karyawan generasi muda dengan platform pendidikan formal yang ditawarkan insitusi pengajian tinggi awam dan swasta. FINAS tentunya mendukung strategi pembangunan modal insan di dalam merencanakan pelan jangka panjang strategik industri” ujarnya lagi yang turut menyentuh peranan strategik FINAS di dalam komponen permodalan dan insentif, teknologi dan inovasi, galakan dan dasar industri, pemasaran global dan pembangunan domestik.

Beliau ditemui ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Konvokesyen POINT College sesi 2016/2017 di Hotel Royal Chulan, Damansara pada pagi tadi. Pada majlis tersebut, seramai 83 pelajar menerima sijil dalam bidang masing-masing termasuk 5 pelajar terbaik POINT of Creative Award, 5 pelajar terbaik POINT of Exellence Award, dan seorang pelajar terbaik dianugerah POINT of President Award. Turut hadir bersama ialah Dato’ Yong Chee Kong Billion Point Studios Limited, En. Yoki Chin, Presiden POINT College, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah POINT College dan Presiden PROFIMA, Kapten Khir Md Noor.