Kuala Lumpur, 4 Ogos – Kuala Lumpur Film School (KLFS) dengan kerjasama Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sekali lagi berganding bahu menganjurkan program perkongsian ilmu dan pembangunan apresiasi sinema melalui program Bicara Filem KLSF: Perspektif Pembikin Filem (Siri Pengarahan Filem) yang diterajui oleh pengarah dan karyawan filem, U-Wei HjSaari di KLFS, Wangsa Melawati.

Menampilkan filem Lebuhraya Ke Neraka (2017) arahan pengarah tersohor Mamat Khalid yang turut hadir bagi sesi perkongsian ilmu dan apresiasi sejurus tayangan, filem ini telah dikupas secara ilmiah daripada perspektif pembikinan dan pengarahan, falsafah, cabaran, aspirasi dan impak kepada penonton.

Filem yang bergenre spiritual dan seram ini membariskan pelakon seperti Dato’ Awie, Khir Rahman, Shah Jaszle, Pekin Ibrahim, Dazrin Kamarudin, Miera Liyana dan Fatin Shahirah. Turut hadir di program Bicara Filem para karyawan filem dan penggiat industri, pensyarah dan pelajar perfileman serta pencinta filem.