Dikenali sebagai seorang pelakon menerusi lakonan pertamanya dalam filem ‘Lupa Daratan ‘yang diterbitkan pada tahun 1952. Filem arahan Tan Sri L.Krishnan itu berjaya meletakkan namanya sebagai pelakon filem, apabila pengarah S.Ramanathan menyungkil bakat lakonan berkesannya dalam filem ‘Sedarah’, di samping beberapa pelakon lain antaranya P.Ramlee, Haji Mahadi, Siti Tanjung Perak, Saadiah, Malik Sultan Muda dan ramai lagi. Figura hebat di sebalik nama Rosnani Jamil, menjadikan dirinya antara Seniwati Tersohor era Studio Jalan Ampas, Singapura apabila terlibat hampir 26 buah filem sehingga dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-5 (1984) menerusi karya Jasmin arahan Dato’ Jamil Sulong.

‘Mawar Merah (1987), Antara Dua Hati (1988), Memori (1991), Amelia (1994), Bicara Hati (2004) dan Mawar Putih (2016)’, antara 6 buah filem sentuhannya dalam industri perfileman tanahair. Filem Mawar Merah yang diarahkan buat pertama kalinya, memenangi beberapa anugerah iatu Pelakon Lelaki Terbaik (Mustafa Noor), Bintang Harapan (Raja Ema), Skrip dan Lakon Layar Terbaik (Rosnani Jamil) di Festival Filem Malaysia ke-7 (1987) yang diadakan di Bandar Melaka. ‘Mawar Putih’ yang diarahkannya pada tahun 2016 merupakan filem sentuhannya yang terbaharu selepas 12 tahun tidak mengarah filem. Mawar Putih adalah pengabdian dirinya terhadap Sinema Melayu di mana corak pengarahan dan sentuhannya adalah sama seolah-olah filem tersebut dibikin pada era 80an.

Dalam usia 81 tahun, segala keringat dan baktinya untuk sinema melayu terus akan mekar bagaikan sekuntum bunga yang kembang, tidak akan layu, terbang tinggi di awan dan terus gemilang selamanya. Dato’ Hajjah Rosnani Jamil, primadona unggul filem melayu klasik dan seniwati hebat yang tidak pernah luntur bakat seninya walaupun dilambung ombak sekalipun. Semoga diberikan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan bahagia hendaknya.

‘sekuntum bunga di taman yang dipuja,
Tiada gantinya walaupun sedetik cuma’
Selamat Ulang Tahun Kelahiran buat Seniwati Unggul, Dato’ Hajjah Rosnani Jamil’

Oleh: Amy Ikram
Mewakili team media Finas & Bahagian Komunikasi Korporat, Finas.

Info terkini: Filem Mawar Putih (2016) filem keenam arahannya akan ditayangkan kembali dalam satu acara khas pada Ahad, 19 Februari 2017 di Auditorium Kelab Masyarakat Marine Parade, Singapura bermula 2.00 ptg hingga 7 mlm).

Kredit gambar: SIX5Productions LLP