Petaling Jaya, 26 Julai – Seramai 45 orang pelajar antarabangsa dari Indonesia mewakili 3 buah pusat institut pengajian tinggi iaitu Universitas Budi Luhur Jakarta, Universitas Sriwijaya Palembang dan Universitas Islam Negeri Malang diiringi seorang pensyarah iaitu Prof. Dr. Nor Azan Mat Zin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpeluang menyertai Program Integrasi dan Sinergi Industri di FINAS Petaling Jaya hari ini.

Objektif program adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar berkaitan industri kreatif di Malaysia serta pengetahuan berkaitan proses penghasilan sesebuah filem selain daripada aspek fundamental dan teori. Program ini juga turut memberi pendedahan dan makluman berkaitan Museum of Moving Image (MOMI), Mediatheque dan E-Heritage selain daripada perkongsian maklumat berkaitan fungsi FINAS dalam memajukan industri kreatif negara. Para pelajar yang terlibat dalam program ini juga berpeluang meninjau secara langsung pelbagai peralatan perfileman yang dipamerkan di ruang operasi MOMI, Negatif Room dan Makmal Warna P. Ramlee bagi memberi informasi yang lebih terperinci kepada mereka. Sesi penerangan telah disampaikan oleh Encik Mohd Zakri Zakaria, Penolong Pengarah Mediatheque.