Kuala Terengganu, 19 Ogos – Program ‘MyMerdeka @ 60’ anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dan Mydin Holdings dengan kerjasama rakan strategik seperti FINAS, RTM, JASA, MDEC, MCMC dan pelbagai agensi kerajaan telah berlangsung meriah di Mydin Mall, Gong Badak sejak 17 Ogos lalu.

YB. Dato’ Jailani Johari, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam ucapan perasmiannya pagi tadi mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam menjayakan program ini. Beliau turut menyatakan program ini adalah salah satu inisiatif kerajaan dalam menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya generasi muda.

FINAS sebagai rakan strategik mengambil peluang dengan mengadakan pameran teknologi restorasi dan pendigitalan (Mediatheque), tayangan siri kapsul, promo dan dokumentari kemerdekaan, kuiz interaktif serta mengadakan sesi eksplorasi bakat dan kreativiti generasi progresif bersama pelakon Zila Bakarin dan Kay Khydir.